
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pihak penganjur bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan setiap himpunan permotoran dilaksanakan secara selamat, teratur dan mematuhi peraturan jalan raya sekali gus dapat menjamin keselamatan peserta dan pengguna jalan raya.
- Jalankan penilaian risiko menyeluruh sebelum himpunan untuk kenal pasti bahaya dan sediakan pelan operasi serta kecemasan.
- Pastikan kawalan trafik, laluan selamat dan jumlah peserta terkawal demi kelancaran aliran lalu lintas.
- Tambah bilangan marsyal, perkukuh sistem komunikasi dan dapatkan kerjasama pihak berkuasa untuk pengurusan trafik teratur.
- Laksanakan perancangan sistematik, penyelarasan berkesan dan pemantauan berterusan sepanjang perhimpunan.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berpandangan penganjur perlu memastikan laluan menuju himpunan selamat, jumlah peserta pada tahap yang boleh dikawal serta menyediakan kawalan trafik demi kelancaran aliran lalu lintas.
“Langkah penting yang perlu diambil dengan menjalankan penilaian risiko secara menyeluruh sebelum himpunan berlangsung. Ia bagi mengenal pasti risiko bahaya, melaksana langkah pencegahan bersesuaian serta menyediakan pelan operasi dan kecemasan yang lengkap dan jelas.
“Pada masa sama, pematuhan peserta terhadap arahan penganjur serta undang-undang jalan raya juga penting dalam mengelakkan kemalangan,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Tambah beliau, semakin tinggi jumlah peserta yang menyertai himpunan, semakin meningkat risiko dan kerumitan pengurusan himpunan permotoran.
Justeru beliau mencadangkan supaya penganjur menyediakan prosedur keselamatan yang lebih komprehensif.
“Ia termasuk menambah bilangan marsyal, memperkukuh sistem komunikasi, mendapatkan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi merancang pengurusan trafik dengan lebih teraturm,” jelasnya lagi.
Selain itu, Profesor Madya Dr Law mengakui bahawa setiap peserta bertanggungjawab terhadap cara pemanduan masing-masing namun, penganjur tetap memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kemalangan.
“Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi perancangan yang sistematik, penyelarasan yang berkesan serta pemantauan berterusan sepanjang perhimpunan berlangsung.
“Ia sekali gus mengelakkan risiko utama seperti pelanggaran sesama peserta, kemalangan yang melibatkan pengguna jalan raya lain, gangguan aliran trafik, tingkah laku pemanduan berisiko, keadaan jalan yang tidak sesuai, cuaca buruk serta kelewatan tindakan ketika kecemasan,” katanya lagi.