Gagal kosongkan tangki septik berjadual: 270 premis dikenakan notis pematuhan SPAN

Gambar Hiasan

SUNGAI PETANI, 6 Ogos – Sebanyak 270 notis pematuhan pengosongan tangki septik dikeluarkan terhadap pemilik premis perniagaan di sini oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Padi 2 mendapati premis gagal mengosongkan tangki septik secara berjadual dan banyak tangki terlalu lama tidak diselenggara.
  • Pemilik diberi 14 hari untuk maklum balas dan mengambil tindakan mengosongkan tangki septik selepas menerima notis.
  • Penguatkuasaan menurut Seksyen 65(1)(C) Akta 655; pemilik wajib menyelenggara sistem, denda sehingga RM50,000 dan siasatan boleh dibuka.

Tindakan itu dilakukan menerusi Op Padi 2 selepas premis didapati gagal mengosongkan tangki septik secara berjadual.

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata operasi penguatkuasaan selama tiga hari bermula Selasa lalu membabitkan 341 premis komersial dan domestik.

Katanya, pemilik yang menerima notis mempunyai tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas dan mengambil tindakan mengosongkan tangki septik masing-masing.

“242 premis komersial dan 99 premis domestik gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik setelah ia dikeluarkan oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK) sebelum ini.

SPAN mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis pematuhan,” katanya kepada pemberita selepas melaksanakan operasi di Taman Sejati Indah, di sini pada Rabu.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan pihaknya mendapati kebanyakan premis dibina sejak 70-an dan 80-an termasuk tangki septiknya telah terlalu lama tidak diselenggara.

“Di bawah Seksyen 65(1)(C), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik premis hendaklah menyelenggara dan menjaga sistem tersebut dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk untuk menjalankan nyah enap cemar ke atas tangki septik di premisnya,” tegasnya.

Beliau menambah, jika gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil termasuk memberi notis kesalahan atau membuka kertas siasatan.

Jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Selain tindakan penguatkuasaan, pihaknya juga mengedarkan risalah kesedaran bagi memberi penerangan kepada pemilik dan penghuni premis mengenai kepentingan penyelenggaraan tangki septik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.