Tuntutan palsu, subahat Daya Kerjaya PERKESO : Empat individu mengaku tidak bersalah

Sebutan semula kes ditetapkan September ini

ALOR SETAR, 5 Ogos – Empat individu termasuk pemilik Syarikat Fuad Trading Industry Sdn Bhd, Hafizoh Hamid, 50 tahun dan suaminya, Fuad Osman, 65 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini masing-masing atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan bersubahat membabitkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hafizoh didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi penyataan palsu pada dua tarikh.
  • Lee Zi Hao berdepan enam pertuduhan manakala bapanya Lee Kai Fuat didakwa lima pertuduhan bersubahat berkaitan tuntutan palsu.
  • Ikat jamin RM7,000 bagi Hafizoh dan suami dengan sebutan semula 27 September; RM8,000 bagi Zi Hao dan bapanya, sebutan semula 8 September.

Hafizoh didakwa atas dua pertuduhan memberikan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi penyataan palsu kepada seorang ejen PERKESO Cawangan Pemantauan dan Pembangunan di Nombor 929, Jalan Sultan Badlishah di sini, pada 13 Jun 2024 dan 2 Okt 2024.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Westfield Retailing Sdn Bhd Lee Zi Hao, 35 tahun berdepan enam pertuduhan sama yang didakwa dilakukan di Jalan KLC 4, Kulim Landmark Central di Kulim pada 1 Mac 2024, 6 September 2024 dan 25 Oktober 2024, manakala bapanya, Lee Kai Fuat, 63 tahun, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan bersubahat dengan Zi Hao.

Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan Hafizoh dan Fuad yang diwakili peguam Datuk Ghazali Cha, diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes.

Sementara, Zi Hao dan Kai Fuat yang diwakili peguam Hari Prassaad Rao jaminan dibenarkan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kamarusan Kamis.

Kesemua mereka yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing, antara 12 individu yang dihadapkan ke mahkamah di Kelantan, Kedah dan Perak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.