17 terbunuh dalam serangan Rusia di Kiev

Penyelamat memadamkan kebakaran di gudang yang rosak susulan serangan besar-besaran peluru berpandu Rusia Kiev/ AFP

KIEV, 5 Ogos – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan lebih 40 orang cedera selepas Rusia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv serta kawasan sekitarnya sepanjang malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan menyasarkan gudang, kemudahan infrastruktur dan sebuah stesen kereta api di Kiev.
  • Pusat logistik Epicentr musnah dalam kebakaran akibat serangan.
  • Presiden Zelensky berkata Ukraine gagal memintas semua peluru berpandu dan menggesa sekutu Barat tingkatkan sistem pertahanan udara AS.
  • Tentera Udara Ukraine lapor 98 daripada 115 dron dipintas tetapi tiada peluru berpandu balistik berjaya ditembak jatuh.

Menurut pihak berkuasa Ukraine pada Rabu, lapan mangsa maut dalam serangan ke atas
sebuah stesen kereta api di timur Kiev, manakala seorang pekerja pusat logistik Epicentr maut apabila pusat logistik syarikat itu musnah dalam kebakaran akibat serangan berkenaan.

Selain itu, tiga pekerja pusat pengasingan pos turut terbunuh dan baki mangsa yang maut
dilaporkan berada di beberapa lokasi lain yang terjejas. Namun butiran lanjut mengenai identiti atau lokasi mangsa tidak didedahkan oleh pihak berkuasa

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata Ukraine gagal memintas semua peluru berpandu Rusia dan menggesa sekutu Barat meningkatkan bekalan sistem pertahanan udara buatan Amerika Syarikat (AS).

“Peluru berpandu pemintas balistik mampu menyelamatkan nyawa mereka yang terkorban hari ini,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang mengesahkan seramai 17 orang maut
dalam serangan berkenaan.

Serangan terbaharu itu turut mencetuskan kebakaran di beberapa lokasi di wilayah Kiev dengan kepulan asap tebal kelihatan menyelubungi ruang udara ibu negara ketika menjelang waktu pagi.

Menurut Tentera Udara Ukraine, sebanyak 98 daripada 115 dron berjaya dipintas, namun tiada peluru berpandu balistik berjaya ditembak jatuh.

Pihak berkuasa Ukraine berkata serangan itu menyasarkan gudang penyimpanan, kemudahan infrastruktur dan sebuah stesen kereta api.

Rusia pula mendakwa serangan tersebut menyasarkan pusat logistik dan kemudahan yang digunakan untuk menyimpan senjata serta menghasilkan dron bagi menyokong operasi ketenteraan Ukraine.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.