
SEOUL, 4 Ogos- Gelombang haba yang melanda Korea Selatan telah meragut 16 nyawa, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu pada Selasa.
- Rekod suhu tertinggi dipecahkan tiga kali; bacaan tertinggi 42.5 darjah Celsius dicatat di Yangsan.
- Seluruh Seoul kini di bawah amaran gelombang haba teruk; suhu dijangka menghampiri 40 darjah Celsius.
- Agensi Meteorologi Korea memberi amaran cuaca panas melampau yang mengancam nyawa.
- Presiden Lee arah Kabinet anggap situasi sebagai bencana negara dan laksanakan langkah pantas, menyeluruh untuk lindungi nyawa.
Kementerian itu memaklumkan seramai 2,025 orang mengalami penyakit berkaitan cuaca panas dalam tempoh antara 15 Mei hingga 2 Ogos dengan 16 daripadanya meninggal dunia.
Rekod suhu tertinggi Korea Selatan dipecahkan sebanyak tiga kali sepanjang minggu lalu, dengan bacaan tertinggi baharu mencecah 42.5 darjah Celsius di bandar Yangsan pada Ahad.
Seluruh Seoul kini berada di bawah amaran gelombang haba teruk, tahap amaran tertinggi dengan suhu dijangka kembali menghampiri 40 darjah Celsius.
“Cuaca panas melampau yang mengancam nyawa dijangka berlaku,” menurut Agensi Meteorologi Korea (KMA) dalam kenyataannya.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengarahkan Kabinetnya menangani situasi itu sebagai “bencana negara” dan melaksanakan semua langkah diperlukan bagi melindungi nyawa rakyat.
“Sila melihat situasi semasa ini sebagai bencana negara dan lakukan segala usaha untuk melindungi nyawa rakyat dengan melaksanakan semua langkah diperlukan secara pantas, menyeluruh dan tanpa sebarang kelompongan,” katanya. -AFP