RXZ Members bukan medan berlumba, hentikan aksi berbahaya

Antara peserta Members 8.0 yang menuju ke himpunan tersebut di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak Terengganu/Foto Official RXZ Members Facebook

KUANTAN, 4 Ogos – RXZ Members bukan medan berlumba atau melakukan aksi berbahaya yang boleh mengundang nahas jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan pemeriksaan keselamatan motosikal dan patuhi undang-undang jalan raya sebelum menyertai program.
  • Jangan jadikan konvoi tempat berlumba atau melakukan aksi berbahaya; tunjuk disiplin dan tanggungjawab.
  • Pihak berkuasa mengeluarkan saman dan menyita motosikal; kawalan keselamatan serta laluan khas perlu diperketat.
  • Catatan kemalangan dan kematian mengingatkan perlunya kebenaran ibu bapa, disiplin peserta dan langkah pencegahan.

Itu antara pandangan orang ramai yang mahu aspek keselamatan diberi keutamaan sekiranya penganjuran RXZ Members diteruskan.

Tinjauan RTM mendapati peserta turut digesa mematuhi peraturan jalan raya, memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat dan lebih berdisiplin sepanjang program.

Mahasiswa, Putri Nurfarhanis Syamilia Muhamad Saifudin berkata, pemeriksaan keselamatan motosikal penting sebelum menyertai program berkenaan.

“Kalau kita dah periksa keselamatan, patuhi undang-undang jalan raya, mungkin tak berlakulah kemalangan,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, pekerja sambilan restoran, Nor Fitri Suhaira Mohamad mengingatkan peserta terutama golongan pelajar supaya berhati-hati dan mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum menyertai program.

“Setiap pelajar perlu berhati-hati, minta kebenaran ibu bapa dulu sebelum nak pergi RXZ Members dan perlulah bawa motor dengan berhati-hati,” katanya.

Bagaimanapun, mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Nur Umairah Nasuha Kamaruzaman pula berpandangan penganjuran RXZ Members tidak perlu dihentikan kerana sudah mempunyai komuniti peminat tersendiri.

Namun, beliau menegaskan konvoi itu tidak seharusnya dijadikan medan berlumba atau melakukan aksi berbahaya.

“RXZ ini tak perlulah terus diberhentikan sebab ramai orang minat… jangan jadikan konvoi itu tempat kita berlumba atau buat aksi,” katanya.

Tahun ini, Polis Terengganu mengeluarkan 1,850 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 222 motosikal sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 yang menghimpunkan lebih 200,000 peserta.

Manakala pekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B) Ain Sofea Azzahra Mohd Rozi, mahu kawalan keselamatan diperketat dan laluan bersesuaian disediakan, selain peserta menjaga kebersihan serta disiplin.

“Program ini boleh diteruskan, tapi kita sebagai orang awam kenalah jaga sikap kita,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin memaklumkan lima kematian dan 29 kes kemalangan membabitkan peserta direkodkan sepanjang RXZ Members 8.0.

Lima kematian itu berlaku di Kemaman dan Dungun, membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun.

Pada penganjuran tahun lalu pula, lima kematian direkodkan membabitkan peserta ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari himpunan RXZ Members di Gong Badak, Terengganu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.