
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia sedang memuktamadkan Draf Garis Panduan Perancangan Fizikal Warga Emas (GPP EMAS) yang akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri.
- Draf GPP EMAS sebagai rujukan kepada kerajaan negeri, PBT dan pihak berkepentingan untuk merancang pembangunan bandar dan komuniti mesra usia.
- Menggalakkan penyediaan pusat jagaan, pusat aktiviti dan perumahan khas serta menetapkan nisbah dan standard ruang minimum bagi kemudahan warga emas.
- Menekankan pendekatan ageing in place dengan rangkaian pejalan kaki selamat, akses pengangkutan awam, ruang rekreasi dan kemudahan kesihatan mudah diakses.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata draf tersebut disediakan sebagai rujukan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan bandar serta komuniti mesra usia.
“Tindakan in mengambil kira perubahan demografi negara, peningkatan populasi warga emas serta amalan terbaik dan keperluan semasa,” jelasnya.
‘’Draf ini menggariskan penyediaan kemudahan pembangunan yang memenuhi keperluan warga emas termasuklah pusat jagaan rumah jagaan kejururawatan swasta serta pusat aktiviti warga emas power serta menggalakkan penyediaan perumahan khas warga emas sebagai salah satu pilihan perumahan yang lebih sesuai dengan keperluan serta kesejahteraan warga emas,” tambah beliau.
Beliau menambah, bagi memastikan penyediaan kemudahan tersebut draf garis pembangunan warga emas ini mencadangkan nisbah penyediaan pusat jagaan warga emas sama ada pusat jagaan komuniti pusat jagaan harian atau hak sokongan warga emas pada kadar satu pusat bagi setiap 1,000 hingga 1,500 warga emas,” jelasnya apabila menjawab soalan Senator Thiagarajah A/L Rajagopal pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Katanya, draf tersebut turut menetapkan standard ruang minimum bagi pusat jagaan warga emas, termasuk penyediaan sekurang-kurangnya tiga meter persegi bagi setiap penghuni.
“Ia tidak termasuk ruang sokongan serta sembilan meter persegi bagi setiap bilik warga emas bagi memastikan keselesaan, privasi dan penyampaian perkhidmatan penjagaan yang berkualiti,” katanya.
Pada masa sama jelasnya, GPP EMAS memberi penekanan kepada pendekatan “ageing in place” iaitu membolehkan warga emas terus tinggal di kediaman atau komuniti sedia ada secara berdikari, selamat dan berkualiti.
“Pendekatan itu disokong melalui penyediaan rangkaian pejalan kaki yang selamat dan bebas halangan, akses kepada pengangkutan awam, ruang rekreasi, kemudahan kesihatan serta kemudahan asas yang mudah diakses,” jelasnya.