
NEW YORK, 4 Ogos – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pembunuhan orang awam di Gaza dan menegaskan kemudahan kesihatan mesti dilindungi daripada serangan.
- PBB mengecam pembunuhan orang awam dan serangan terhadap kemudahan kesihatan di Gaza.
- PBB menuntut perlindungan segera untuk perkhidmatan kesihatan dan penghentian serangan ke atas hospital.
- WHO turut menggesa agar kemudahan perubatan dilindungi dan serangan dihentikan segera.
Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq mengesahkan serangan berterusan sepanjang hujung minggu lepas mengakibatkan puluhan nyawa terkorban termasuk kanak-kanak.
“PBB mengecam tindakan pembunuhan yang menyasarkan orang awam serta kemudahan kesihatan yang dijadikan sasaran,”tegasnya.
Dalam masa sama, PBB turut memberi amaran kekurangan dana mengakibatkan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan semakin berkurangan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 150 kematian dicatatkan pada Julai, menjadikan angka korban tertinggi, tahun ini.
Kebanyakan serangan dilaporkan berlaku di bahagian barat Gaza, iaitu kawasan yang kini menempatkan sebahagian besar daripada kira-kira 2.1 juta penduduk.
Serangan zionis terhadap kemudahan perubatan di Gaza turut dikecam Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) dengan menggesa serangan perlu dihentikan serta-merta.
Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataan menegaskan WHO menggesa agar perkhidmatan kesihatan dilindungi.
“Kemudahan kesihatan tidak boleh sesekali diserang atau dijadikan kawasan ketenteraan,”tegasnya.
Hujung minggu lepas, serangan tentera Israel menyasarkan sebuah tempat penyimpanan bersebelahan Hospital Syuhada Al-Aqsa, mengakibatkan bangunan utama rosak dan memusnahkan peralatan perubatan, termasuk barangan yang baru dihantar oleh WHO. – REUTERS