Sepanyol tegas kedaulatan Ceuta tidak boleh dipersoalkan

Foto REUTERS

CEUTA, 3 Ogos – Sepanyol menegaskan kedaulatannya ke atas wilayah Ceuta tidak boleh dipersoalkan selepas puluhan ribu pendatang tanpa izin memasuki wilayah itu dari Maghribi minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maghribi tidak mengiktiraf Ceuta dan Melilla dan menuntut kedaulatan sejak 1956.
  • Kira-kira 60,000 pendatang memasuki Ceuta; kebanyakan telah kembali, baki dianggarkan 2,500 hingga 5,000.
  • Lebih kurang 1,000 kanak-kanak tanpa penjaga memerlukan perlindungan sementara kapasiti sistem hanya sekitar 100.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menegaskan, Ceuta dan Melilla merupakan sebahagian daripada wilayah Sepanyol yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Hakikat bahawa Ceuta dan Melilla adalah sebahagian daripada wilayah Sepanyol tidak boleh dipersoalkan oleh seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan televisyen pada Isnin.

Madrid setakat ini tidak mengkritik Maghribi susulan kemasukan besar-besaran pendatang ke wilayah itu, walaupun terdapat penganalisis berpendapat tindakan tersebut mungkin bertujuan memberi tekanan diplomatik terhadap Sepanyol.

Maghribi tidak mengiktiraf Ceuta dan Melilla sebagai wilayah Sepanyol dan terus menuntut kedaulatan ke atas kedua-dua wilayah itu sejak memperoleh kemerdekaan pada 1956.

Daripada kira-kira 60,000 pendatang yang memasuki Ceuta minggu lalu, kebanyakannya dengan berenang mengelilingi pagar sempadan, sebahagian besar telah kembali ke Maghribi.

Wakil kerajaan pusat Sepanyol di Ceuta, Miguel Angel Perez berkata kira-kira 2,500 pendatang masih berada di wilayah itu, manakala Ketua Kerajaan Ceuta, Juan Jesus Vivas menganggarkan jumlah sebenar antara 3,000 hingga 5,000 orang.

Anggota polis dan tentera Sepanyol dilihat mengiringi kumpulan kecil pendatang ke sempadan untuk dihantar pulang ke Maghribi.

Sementara itu, pertubuhan Save the Children memaklumkan kira-kira 1,000 daripada pendatang yang masih berada di Ceuta adalah kanak-kanak tanpa penjaga, sedangkan sistem perlindungan kanak-kanak di wilayah itu hanya mampu menampung sekitar 100 orang.

Menteri Migrasi Sepanyol, Elma Saiz berkata pihak berkuasa tidak menerima sebarang amaran awal mengenai skala kemasukan pendatang berkenaan.

Beliau turut mengakui usaha menguruskan situasi itu tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kerjasama Maghribi.

Kesatuan Eropah (EU) dijadual mengadakan mesyuarat secara sidang video melibatkan menteri-menteri dalam negeri pada Selasa bagi membincangkan lonjakan kemasukan pendatang ke Ceuta. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.