
TEHRAN, 3 Ogos – Iran dan Oman hampir mencapai persetujuan mengenai laluan maritim baharu di Selat Hormuz yang berasingan daripada koridor sedia ada, kata Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.
- Butiran cadangan laluan masih belum diumumkan.
- Laluan bukan utara atau selatan; ia menghormati kedaulatan kedua-dua pihak dan melindungi kepentingan keselamatan negara.
- Persefahaman laluan tidak berkaitan keputusan buka semula Selat Hormuz; Baqaei menuduh tindakan AS punca penutupan.
Butiran mengenai cadangan laluan itu bagaimanapun masih belum diumumkan.
“Kami kini hampir mencapai persefahaman mengenai satu laluan yang boleh diterima bersama.
“Ia bukan laluan utara mahupun laluan selatan sebaliknya laluan yang menghormati hak kedaulatan kedua-dua pihak serta melindungi kepentingan dan keselamatan negara kami,” katanya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sebelum ini dilaporkan berkata, rundingan dengan Oman berada pada peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Oman bagaimanapun belum memberikan sebarang reaksi mengenai perkara itu.
Baqaei menegaskan bahawa persefahaman mengenai laluan baharu berkenaan tidak berkaitan dengan keputusan sama ada Selat Hormuz akan dibuka semula atau terus ditutup.
Beliau meletakkan tanggungjawab penutupan Selat Hormuz kepada Washington.
“Selat itu ditutup kerana Amerika Syarikat (AS) melanggar komitmennya, mengenakan sekatan laut terhadap Iran serta mengambil pelbagai tindakan bermusuhan terhadap Iran sepanjang tempoh ini,” katanya.
Sebelum konflik, kira-kira 20 peratus penggunaan minyak global menggunakan laluan Selat Hormuz. – AFP