Penunggang motosikal warga Singapura maut nahas empat kenderaan di Kulai

Foto PDRM

KULAI, 2 Ogos – Seorang penunggang motosikal warga Singapura maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan, di Kilometer 44.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunggang dipercayai hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang MPV yang dipandu seorang wanita warga Singapura.
  • Dua lagi penunggang turut terlibat; seorang patah paha kanan, seorang lagi mengalami kecederaan ringan, dirawat di Hospital Kulai.
  • Pemandu MPV tidak cedera; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai diminta tampil bantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu, mangsa berusia 56 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu seorang wanita warga Singapura berusia 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee dalam satu kenyataan berkata, mangsa bersama-sama dua lagi rakannya yang menunggang motosikal secara berasingan sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Kulai.

“Mangsa seorang lelaki warga Singapura berumur 56 tahun telah hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah MPV yang dipandu seorang wanita warga Singapura berumur 32 tahun yang ketika itu sedang berada di lorong kanan.

“Ketika kejadian, aliran trafik di hadapan dilaporkan bergerak perlahan. Dua lagi penunggang motosikal yang menunggang bersama-sama mangsa, masing-masing warga tempatan berusia 57 dan 39 tahun, turut terlibat dalam kemalangan tersebut,” menurutnya lagi dalam kenyataan itu.

Beliau memaklumkan, pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal berusia 39 tahun patah paha kanan dan seorang lagi penunggang berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan. Kedua-duanya kini sedang menerima rawatan di Hospital Kulai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.