Polis siasat kes jual air ketum secara terbuka

Foto RTM

KEMAMAN, 1 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat menjalankan siasatan berhubung dua rakaman video yang tular di media sosial memaparkan aktiviti disyaki penjualan air ketum secara terbuka di kawasan susur keluar Lebuh Raya Pantai Timur 2 di Dungun pada petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lokasi dikenal pasti di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat Paka, laluan utama peserta menuju ke tapak penganjuran.
  • Insiden berlaku semasa program RXZ Members 8.0.
  • Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun melakukan pemeriksaan; tiada penjualan air ketum ditemui.
  • Polis tingkatkan pemantauan, minta orang ramai bantu dengan hubungi IPD Dungun; kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata kejadian berlaku di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Paka dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu.

“Rakaman video yang tular di media sosial itu memaparkan beberapa individu dipercayai menjalankan aktiviti menjual air ketum secara terbuka di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati insiden berlaku semasa program RXZ Members 8.0 dan lokasi dikenal pasti di laluan utama peserta menuju ke tapak penganjuran,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Superintenden Nik Ab Halim, susulan maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dungun digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada lagi aktiviti penjualan ari ketum seperti yang dipaparkan dalam rakaman video berkenaan,” jelasnya.

Polis memandang serius aktiviti penjualan dan penyalahgunaan air ketum serta bahan terlarang termasuk dadah.

Susulan itu, pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di lokasi tumpuan orang ramai serta sepanjang penganjuran program berskala besar.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Dungun atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.