
PASIR MAS, 31 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas pelbagai hasil pertanian dipercayai diseludup dari Thailand di Bulatan Lemal, malam Khamis.
- Seorang lelaki 46 tahun ditahan ketika memandu lori, pemeriksaan menemui halia, lengkuas, ubi keledek dan pisang tanpa dokumen sah.
- Semua hasil didapati dari Thailand, dipercayai hendak dibawa ke RTC Kota Bharu untuk dijual; pemandu menerima upah RM100 setiap penghantaran.
- Lori dan muatan dirampas, nilai keseluruhan dianggarkan RM159,100; kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam ketika memandu sebuah lori dalam mencurigakan di kawasan Jeram Perdah.
Komander Briged Tenggara PGA, ACP Mohd Radzi Hussain, berkata pemeriksaan di bahagian belakang dan dalam lori itu menemukan lima kotak halia, 30 plastik lengkuas, tujuh plastik ubi keledek serta 30 plastik pisang yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah.
“Siasatan awal mendapati semua hasil pertanian itu diperoleh dari Thailand dan dipercayai akan dibawa ke RTC Kota Bharu untuk dijual, dengan pemandu menerima upah sebanyak RM100 bagi setiap penghantaran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lori yang digunakan bersama muatan hasil pertanian itu dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM159,100.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.