
TANJUNG MALIM, 31 Julai – PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Proton e.MAS 7 PHEV di Kilang EV PROTON yang terletak di Automotive High-Tech Valley (AHTV), di sini.
- Semua tiga model Proton e.MAS dan varian kini dipasang secara tempatan, menggalakkan penglibatan vendor tempatan serta peningkatan kandungan tempatan dalam industri automotif.
- Proton e.MAS 7 PHEV adalah PHEV paling laris di Malaysia dengan 4,500 unit didaftarkan dan lebih 11,000 tempahan.
- Menggunakan teknologi EM-i Advanced Hybrid; 4.3L/100km, pemanduan elektrik sehingga 170km, jarak gabungan sehingga 1,065km, dan ciri kerusi urut hadapan.
Langkah itu dijangka memperkukuh ekosistem pembuatan kenderaan elektrik (EV) negara melalui peningkatan penglibatan pembekal tempatan, peluasan tahap lokalisasi komponen serta pelaburan berterusan dalam keupayaan pembuatan.
Setakat ini, kira-kira 30 peratus komponen Proton e.MAS 7 PHEV diperoleh daripada pembekal tempatan, manakala kilang EV PROTON menyediakan peluang pekerjaan kepada 391 tenaga kerja.
Model berkenaan turut muncul sebagai kenderaan hibrid plug-in (PHEV) paling laris di Malaysia dengan 4,500 unit didaftarkan setakat tahun ini, sementara jumlah tempahan keseluruhan telah melebihi 11,000 unit.
Menurut PRO-NET, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap penyelesaian mobiliti berkuasa elektrik yang menggabungkan kelebihan pemanduan elektrik dengan fleksibiliti perjalanan jarak jauh.
Dengan kesemua tiga model Proton e.MAS bersama varian masing-masing kini dipasang secara tempatan, perkembangan itu disifatkan sebagai satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas penglibatan vendor tempatan serta meningkatkan kandungan tempatan dalam industri automotif.
Bersempena permulaan pengeluaran CKD itu, PRO-NET turut memperkenalkan penambahbaikan pada varian Proton e.MAS 7 PHEV Premium dan Premium Plus, termasuk ciri kerusi urut di bahagian hadapan bagi meningkatkan keselesaan pemandu dan penumpang.
Proton e.MAS 7 PHEV menggunakan teknologi EM-i Advanced Hybrid yang menggabungkan enjin petrol dan motor elektrik, dengan penggunaan bahan api serendah 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer.
Model itu juga menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer, manakala jarak perjalanan gabungan mampu mencecah 1,065 kilometer.
Bagaimanapun, PROTON masih belum mengumumkan harga jualan rasmi bagi model berkenaan.