Penstrukturan semula tahun 2018 penyelamatan kewangan segera, elak insolvensi – TH


KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pelan penstrukturan semula pada tahun 2018 sebagai tindakan penyelamatan kewangan segera oleh kerajaan ketika itu bagi melindungi Lembaga Tabung Haji (TH) daripada risiko insolvensi.

RINGKASAN BERITA AI
  • UJSB membeli aset bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang aset-liabiliti dan memastikan TH kekal upaya.
  • Transaksi dibiayai melalui dua siri sukuk UJSB dengan surat sokongan kerajaan, menawarkan kadar keuntungan sekitar 4.05% dan 4.1% setahun.
  • Reformasi tadbir urus dan pengurusan profesional memulihkan kedudukan TH; agihan keuntungan meningkat dan rizab dibina semula untuk kestabilan jangka panjang.

TH menegaskan langkah tersebut sekali gus mengelakkan krisis pasaran kewangan dan pengeluaran deposit secara besar-besaran yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Jurang antara aset dan liabiliti yang melebihi RM10 bilion pada akhir 2018 berpotensi mencetuskan pengeluaran deposit secara besar-besaran.

“Situasi ini berisiko memaksa TH menjual aset-aset pada harga terdesak di pasaran bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit,” menurut TH dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, kerajaan dan TH ketika itu juga berdepan empat pilihan untuk melaksanakan pelan pemulihan dan penstrukturan dalam tempoh singkat sebelum akhir 2018.

Pilihan yang dimuktamadkan adalah menjual aset kurang berdaya saing dan bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya institusi itu kekal upaya.

“Syarikat Tujuan Khas milik penuh kerajaan iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) telah membeli aset-aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 billion untuk menutup defisit yang dihadapi dan membolehkan agihan keuntungan diisytihar bagi tahun 2018.

“Transaksi ini dibiayai oleh dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberi surat sokongan kerajaan dengan kadar keuntungan 4.05 peratus dan 4.1 peratus setahun,” jelasnya.

Menurut TH, hasil pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan tanpa campur tangan kerajaan.

“Kadar agihan keuntungan diisytihar TH bertambah baik dan stabil dengan pulangan meningkat daripada 1.25 peratus bagi tahun 2018 kepada 3.25 peratus bagi tahun 2024 dan 3.5 peratus bagi tahun 2025.

“Agihan keuntungan tersebut dibuat setelah mengambil kira rosot nilai aset-aset bermasalah yang tidak dapat dipindahkan ke UJSB pada akhir tahun 2018 atas sebab-sebab tertentu berjumlah RM2.6 bilion,” katanya.

Kedudukan kewangan TH kini lebih kukuh dan mula membina semula rizab untuk masa depan yang lebih stabil.

“Pelan pemulihan dan penstrukturan TH berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 bilion iaitu RM10 bilion melalui pelan pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga hujung 2025,” ujarnya.

TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi berkenaan terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.