
KUALA LUMPUR, 31 Julai — Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) negara terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada tahun lalu meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi ketegangan geopolitik, termasuk konflik di Asia Barat, serta cabaran perdagangan antarabangsa.
- Trend ekonomi global menjejaskan rantaian bekalan, kos tenaga dan akses bekalan, meningkatkan risiko gangguan perniagaan.
- Perubahan ekonomi rakan dagang melemahkan permintaan eksport, memberi kesan langsung kepada prestasi perdagangan Malaysia.
- Walaupun cabaran global, ekonomi kekal stabil; KDNK PMKS meningkat 5.7% berbanding KDNK negara 5.2%.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali menerima tempias perkembangan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos tenaga dan perdagangan antarabangsa.
“Trend ekonomi global sememangnya memberi kesan kepada negara kita, khususnya dari segi rantaian bekalan.
“Bukan sahaja berlaku kenaikan harga akibat ketegangan dan konflik, malah akses kepada bekalan juga boleh terjejas sekiranya berlaku peperangan atau krisis geopolitik,” katanya pada sidang media Prestasi PMKS 2025 di ibu negara.
Menurut Steven, perubahan ekonomi dalam kalangan negara rakan dagang turut mempengaruhi prestasi eksport negara kerana kelembapan permintaan akan memberi kesan kepada perdagangan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, ekonomi negara kekal berkembang secara stabil pada tahun lalu, sekali gus menyaksikan PMKS mencatat pertumbuhan yang lebih pantas berbanding ekonomi keseluruhan.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran global, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan stabil.
“Malah, pertumbuhan PMKS bukan sahaja kekal positif, tetapi berkembang pada kadar yang lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.
Berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS meningkat 5.7 peratus kepada hampir RM690 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan KDNK negara yang mencatat kadar 5.2 peratus.