Gempa bumi Jepun: 58,000 penduduk berdepan krisis air dan elektrik

Foto AFP

YATSUSHIRO, 30 Julai – Lebih 58,000 penduduk disini kini berdepan krisis bekalan air dan elektrik susulan gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter yang menggegarkan selatan Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Korban terus meningkat; 17 disahkan maut, jumlah terlibat 28 termasuk kes dalam siasatan.
  • Cuaca panas hampir 40 darjah dan kelembapan tinggi meningkatkan risiko strok haba bagi mangsa dan penyelamat.
  • Tindakan kecemasan: SDF agih air dengan catuan tiga liter, tandas kecemasan didirikan, 300 pendingin hawa dipasang pusat pemindahan.

Gegaran kuat yang melanda wilayah Kumamoto dua hari lalu itu memusnahkan deretan kediaman serta menjejaskan laluan perhubungan utama di bandar berkenaan.

Jurucakap kerajaan Jepun mengesahkan sekurang-kurangnya 17 kematian telah disahkan, manakala angka korban keseluruhan melonjak kepada 28 orang termasuk kes yang masih dalam siasatan.

Sebahagian besar kematian dilaporkan berpunca daripada kerosakan struktur yang teruk di sebuah kilang kertas dan pusat beli-belah tempatan.

Pegawai Bandar Yatsushiro, Akio Matsushita, berkata gempa bumi berkenaan memaksa pihak berkuasa mempergiat kerja-kerja pemulihan kemudahan awan dilakukan dan dijangka mengambil masa yang lama.

“Dalam cuaca panas musim panas, krisis kekurangan air ini amat mencabar,” katanya.

Keadaan cuaca dengan kelembapan tinggi serta suhu persekitaran yang dijangka mencecah hampir 40 darjah Celsius menjelang hujung minggu turut menambah risiko strok haba dalam kalangan mangsa terjejas dan pasukan penyelamat.

Bagi mendepani ancaman itu, pihak berkuasa mengambil langkah drastik memasang tandas kecemasan di kawasan terbuka.

Bagi meringankan beban penduduk, Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) dikerahkan mengagihkan bekalan air menerusi kenderaan tangki ke pusat komuniti dan sekolah dengan catuan dihadkan kepada tiga liter bagi setiap individu.

Sebanyak 300 unit pendingin hawa turut dipasang di pusat-pusat pemindahan sementara.

Bencana itu turut menjejaskan sektor industri utama negara apabila gergasi automotif dan teknologi seperti Toyota, Honda, Nissan, Aisin serta Sony menggantung sebahagian operasi.

Sementara itu, syarikat pembuat cip terkemuka, TSMC, turut menghentikan sementara operasi dan melakukan pemidahan pekerja bagi menilai kerosakan kemudahan.

Jepun yang terletak di sepanjang laluan Lingkaran Berapi Pasifik kerap berdepan bencana seismik.

Bagaimanapun, gegaran terbaharu disifatkan antara yang paling buruk sejak tragedi gempa bumi 2016 yang mengorbankan lebih 260 nyawa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.