Mahkamah El Salvador jatuhkan hukuman lebih 1,000 tahun terhadap ahli kongsi gelap

Foto AFP

SAN SALVADOR, 30 Julai – Sebuah mahkamah di El Salvador menjatuhkan hukuman penjara melebihi 1,000 tahun terhadap beberapa ahli kumpulan kongsi gelap yang disabitkan kesalahan pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan jenayah lain, menurut Pejabat Peguam Negara itu pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hukuman sebahagian daripada kempen Presiden Nayib Bukele sejak 2022; lebih 90,000 ditahan, ramai ditempatkan di penjara kawalan ketat.
  • Kumpulan El Gremio disasarkan atas pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pertubuhan haram; 28 didakwa, dua dijatuhi hukuman sangat panjang.
  • NGO dan kumpulan hak asasi menuduh pelanggaran: penahanan tanpa proses, ratusan maut dalam tahanan, dan kebimbangan mengenai kebebasan kehakiman.

Hukuman berat itu dilihat sebahagian daripada kempen Presiden Nayib Bukele bagi membanteras kegiatan kumpulan kongsi gelap sejak 2022, yang menyaksikan lebih 90,000 individu ditahan, dengan sebahagian besar ditempatkan di penjara yang mempunyai kawalan ketat.

Pendakwa raya menerusi platfom X memaklumkan kumpulan dikenali sebagai El Gremio menjadi sasaran atas kesalahan termasuk pengedaran dadah, pengubahan wang haram serta penglibatan dalam pertubuhan haram.

Daripada 28 individu yang didakwa, dua daripadanya dijatuhi hukuman penjara selama 1,048 tahun.

Pada Mac lalu, Kongres yang dikuasai pentadbiran Bukele meluluskan pindaan perlembagaan yang memansuhkan had maksimum hukuman 60 tahun, digantikan dengan penjara seumur hidup bagi kesalahan seperti pembunuhan, rogol dan keganasan.

Peruntukan itu kemudiannya diperluas sehingga melibatkan pesalah di bawah umur 18 tahun.

Pertubuhan bukan kerajaan mendakwa El Salvador kini berdepan kekurangan isu kebebasan kehakiman.

Manakala kumpulan hak asasi manusia menuduh kerajaan melakukan pelanggaran termasuk penahanan dan pemenjaraan individu tidak bersalah.

Menurut Amnesty International, ratusan tahanan dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan, sementara ribuan lagi didakwa menjadi mangsa penahanan tanpa proses undang-undang yang sewajarnya sepanjang operasi membanteras kumpulan. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.