
KAMPALA, 29 Julai – Kementerian Kesihatan Uganda mengisytiharkan secara rasmi wabak Ebola di negara itu berakhir sepenuhnya pada Selasa.
- Tiada penularan baharu dalam komuniti; rantaian jangkitan berjaya diputuskan.
- Pengisytiharan dibuat lebih awal berbanding piawaian WHO; berdasarkan pengesanan penuh kontak dan pembinaan semula rantaian jangkitan.
- Negara mengukuhkan kawalan, meningkatkan kesiapsiagaan sempadan dan memberi jaminan keselamatan serta keterbukaan untuk perniagaan dan pelancongan.
Pengumuman Menteri Kesihatan, Chris Baryomunsi dilakukan selepas pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang penularan baharu dikesan dalam komuniti dan rantaian jangkitan berjaya diputuskan.
“Kementerian Kesihatan dengan sukacitanya mengumumkan Ebola sudah berakhir. Hari ini, Uganda bebas daripada Ebola,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Langkah pengisytiharan tersebut dibuat lebih awal berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang kebiasaannya memerlukan tempoh pengawasan selama 42 hari selepas pesakit terakhir pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 16 Julai lalu.
Menurut kementerian berkenaan, keputusan itu berasaskan kejayaan pembinaan semula rantaian jangkitan secara menyeluruh, pengesanan penuh ke atas kesemua kontak rapat serta pengawasan ketat di seluruh negara.
Meskipun sudah bebas daripada ancaman wabak, Uganda terus mengukuhkan langkah kawalan, meningkatkan kesiapsiagaan di kawasan sempadan dan bekerjasama rapat dengan negara jiran bagi membendung sebarang risiko penularan semula.
Pihak berkuasa turut memberi jaminan kepada rakyat, pelawat dan pelabur bahawa negara berkenaan kekal selamat serta terbuka untuk aktiviti perniagaan, pelancongan, dan sektor sosioekonomi.
Pada 15 Mei lalu, Uganda mengisytiharkan wabak tersebut selepas mengesan kes import dari Republik Demokratik Congo.
Sepanjang tempoh penularan, negara itu mencatatkan 20 kes dengan 18 kes dilaporkan sembuh, manakala dua kes meninggal dunia.- REUTERS