
PETALING JAYA, 29 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya mengelakkan kira-kira 225,000 tan pelepasan karbon sepanjang tahun 2025 sekali gus dilihat sebagai pemangkin utama ke arah perubahan lebih lestari.
- Lebih 1.31 juta perjalanan harian dan perpindahan kira-kira 377,000 kenderaan ke pengangkutan awam mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
- Prasarana memperluas inisiatif mobiliti lestari dan kecekapan tenaga untuk mengurangkan jejak karbon serta memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.
- UN Global Compact memuji komitmen Prasarana terhadap amalan ESG dan pelaporan piawaian antarabangsa yang menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata, kejayaan itu dicapai susulan peningkatan pengguna pengangkutan awam yang kini merekodkan lebih 1.31 juta perjalanan penumpang setiap hari.
Perkara itu sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dengan mengalihkan kira-kira 377,000 kenderaan ke pengangkutan awam setiap hari.
“Laporan ini mencerminkan komitmen berterusan Prasarana terhadap tadbir urus yang telus, mobiliti bandar yang mampan serta usaha mewujudkan impak positif kepada rakyat, negara dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Laporan Kelestarian Prasarana 2024/2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd Nasir turut memaklumkan bahawa sektor pengangkutan menyumbang kira-kira satu perempat daripada pelepasan gas rumah hijau global.
Prasarana juga akan terus memperluas inisiatif mobiliti lestari menerusi pelbagai inisiatif kecekapan tenaga bagi mengurangkan jejak karbon dan memberi manfaat kepada alam sekitar serta masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia, Brunei dan Cambodia, Faroze Nadar menyifatkan komitmen Prasarana sebagai mencerminkan amalan tadbir urus yang baik melalui pengurusan impak terhadap alam sekitar, masyarakat dan tadbir urus (ESG).
Pelaporan berasaskan piawaian antarabangsa mampu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti organisasi, sekali gus menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).