
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Langkah kawalan perbelanjaan kerajaan sepanjang separuh pertama tahun ini telah meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat.
- Intervensi awal kawalan perbelanjaan mengekalkan kestabilan negara ketika krisis rantaian bekalan global dan kesan konflik di Iran.
- Pelarasan perbelanjaan bukan kritikal: mengecilkan skala acara, mengehadkan perjalanan rasmi, dan mesyuarat secara dalam talian.
- Arahan pelarasan RM10 bilion OE pada 29 April 2026; libat urus kementerian; hampir RM5 bilion sekatan diperoleh; sekatan bersifat sementara.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata langkah intervensi awal yang dilaksana menerusi kawalan perbelanjaan itu membolehkan negara kekal stabil, meskipun berdepan krisis rantaian bekalan global dan kesan daripada perang di Iran.
Beliau memaklumkan pelarasan perbelanjanan melibatkan aspek tidak kritikal antaranya adalah mengecilkan skala acara dan majlis rasmi kerajaan, mengehadkan perjalanan bertugas rasmi kepada urusan yang benar-benar perlu dan melaksanakan mesyuarat secara dalam talian.
“Kementerian Kewangan pada 29 April 2026 telah mengeluarkan arahan pelarasan peruntukan berjumlah RM10 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) tahun 2026 merentasi semua kementerian dan agensi kerajaan.
“Susulan itu, Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi bagi memberikan penjelasan mengenai kriteria kawalan perbelanjaan yang perlu dilaksanakan berikutan krisis rantaian bekalan global yang berlaku.
“Sehingga 14 Julai 2026, hampir RM5 bilion jumlah sekatan telah diperoleh”, katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Hussin Ismail pada persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen.
Senator Hussin meminta kementerian untuk menyatakan impak pelaksanaan penjimatan bajet di setiap kementerian.
Liew berkata sekatan perbelanjaan mengurus itu bersifat sementara dan tidak melibatkan program teras di setiap kementerian serta sektor utama seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan, kebajikan rakyat serta projek pembangunan berimpak tinggi kekal diberi keutamaan.