
CYBERJAYA, 28 Julai – Aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang akan ditawarkan bawah program akses percuma untuk 100,000 belia Malaysia masih belum dimuktamadkan.
- Menteri berkata perincian aplikasi AI masih dibincangkan dan pengumuman akan dibuat selepas dimuktamadkan.
- Perdana Menteri umum akses percuma tiga bulan kepada belia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul Rakyat Digital bermula 31 Ogos.
- Modul memberi pendedahan asas keselamatan siber dan akan diperluas kepada rantaian blok, pengkomputeran awan dan transformasi digital.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata perincian mengenai aplikasi AI yang terlibat masih dalam perbincangan dan pengumuman berkaitan perkara itu akan dibuat sebaik sahaja perkara itu disahkan.
“Kami dalam proses perbincangan dan akan membuat pengumuman apabila sudah dimuktamadkan. Saya tidak mahu mengatakan sesuatu dan kemudian keadaan berubah. Beri saya dua minggu untuk perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.
Menerusi majlis tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan menawarkan akses aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang berjaya melengkapkan modul kursus bawah platform Rakyat Digital bermula 31 Ogos.
Gobind memaklumkan modul berkenaan akan memberi pendedahan asas mengenai keselamatan siber, sebelum memperluaskannya kepada modul berkaitan rantaian blok (blockchain), pengkomputeran awan dan bidang transformasi digital.