
PUTRAJAYA, 28 Julai — Sistem pengurusan prauniversiti Tingkatan Enam dikekalkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem sedia ada.
- Pelajar Tingkatan Enam akan menerima bantuan persekolahan sama seperti murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.
- Kerajaan memperuntukkan RM4.69 juta untuk 2026, dijangka manfaat kepada lebih 31,000 pelajar keluarga miskin tegar.
- Kerajaan komited memperkukuh kebajikan pendidik dengan memperluas peluang kenaikan gaji dan laluan kenaikan pangkat.
- Arahan supaya sekolah tidak menyembunyikan kes disiplin dan buli; tangani secara telus, keselamatan dan kebajikan murid diutamakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira beberapa aspek melibatkan pengurusan pelajar Tingkatan Enam, selain skim berkaitan perkhidmatan guru.
“Buat masa sekarang, saya putuskan supaya pre-university, iaitu Tingkatan Enam, ini masih di bawah KPM. Jadi kita iktiraf ia sebagai post-school, post-secondary, tetapi masih pre-university.
“Namun, kelolaannya masih di bawah KPM kerana masalah sistem guru dan sebagainya. Kita boleh kaji semula setelah pelaksanaannya untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.
Selain itu, pelajar Tingkatan Enam juga akan menikmati skim bantuan persekolahan sama seperti murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima sedia ada.
“Untuk Tingkatan Enam, lebih 30,000 murid Tingkatan Enam yang mengikuti pengajian pada masa ini akan diberikan bantuan yang sama,” katanya.
Sebelum ini, skim Bantuan Am Persekolahan (BAmP) ini hanya meliputi murid sekolah rendah dan menengah, kini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam.
Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan RM4.69 juta bagi inisiatif itu yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 31,000 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga miskin tegar di seluruh negara.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan komited memperkukuh kebajikan warga pendidik dengan memperluas peluang kenaikan gaji dan laluan kenaikan pangkat bagi mengiktiraf sumbangan guru kepada pembangunan negara.
“Sekarang kita tingkatkan peluang sama ada kenaikan gaji, kemudian peluang kenaikan pangkat, supaya guru-guru itu tidak terasa perlu naik ke jabatan sebelum diberi pengiktirafan,” katanya.
Jelasnya lagi, pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan pelbagai penambahbaikan akan terus dilaksanakan hasil maklum balas warga KPM.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar mengarahkan semua sekolah supaya tidak menyembunyikan kes disiplin, termasuk kes buli, demi menjaga imej institusi.
Tegasnya, setiap kes perlu ditangani secara telus kerana keselamatan dan kebajikan murid jauh lebih penting daripada reputasi sekolah.
“Kalau guru besar itu memilih untuk mendedahkannya, saya hormati keputusan itu kerana beliau tidak cuba melindunginya.
“Ini bukan soal menjaga imej sekolah atau prestasi sekolah supaya tidak dipandang negatif. Jadi, anak didera ini, adakah kita sanggup menanggung dosa itu?, sebab itu saya minta supaya ada perubahan,” katanya lagi.