
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Hala tuju jangka panjang pembangunan sukan berbasikal sedang dirangka bagi memastikan kecemerlangan sukan berkenaan terus diperkukuh.
- John Beasley bersetuju membantu sediakan Pelan Pembangunan Berbasikal Negara 10 tahun sebagai dokumen strategik panduan pembangunan sukan.
- Pelan masih di peringkat awal perbincangan antara Majlis Sukan Negara dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
- Beasley akan mengemukakan cadangan pelantikan jurulatih berprestasi tinggi untuk memperkukuh keupayaan dan kompetensi jurulatih tempatan.
- Peruntukan RM9.3 juta tahun ini untuk mengekalkan kecemerlangan program basikal trek serta sokongan latihan dan pusat latihan kebangsaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Mordi Bimol berkata, Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley telah bersetuju membantu menyediakan Pelan Pembangunan Berbasikal Negara bagi tempoh 10 tahun sebagai dokumen strategik yang akan menjadi panduan pembangunan sukan tersebut.
“John Beasley telah bersetuju untuk membantu. Pelan tersebut bagaimanapun masih di peringkat awal perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM.
“Selain itu, beliau juga akan mengemukakan cadangan pelantikan seorang jurulatih berprestasi tinggi bagi memperkukuh keupayaan dan meningkatkan kompetensi barisan jurulatih tempatan,” katanya di Dewan Negara.
Sementara itu , beliau memaklumkan, sebanyak RM9.3 juta telah diperuntukkan tahun ini, bagi memastikan kecemerlangan program sukan basikal trek negara dapat dikekalkan, merangkumi seramai 386 atlet, 32 jurulatih dan 30 pusat latihan di seluruh negara.
“Bagi Program Podium, seramai 13 atlet kini menjalani latihan di bawah bimbingan tiga jurulatih, manakala Program Pelapis melibatkan 18 atlet yang dibimbing dua jurulatih.
“Latihan atlet kebangsaan dilaksanakan di Velodrom Nasional Malaysia yang berfungsi sebagai pusat latihan utama bagi atlet elit dan pelapis negara,” jelasnya.
Sebagai persediaan menghadapi saingan antarabangsa, pasukan berbasikal trek kebangsaan dijadual menyertai 21 kejohanan dalam dan luar negara.
Dalam masa sama, KBS melalui MSN bersama PKBM turut menganjurkan kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) sebagai platform pembangunan bakat dan pencarian pelapis sukan berbasikal negara.