
SEPANG, 27 Julai – Penganjuran Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 2 hingga 4 Oktober ini, bukan sekadar mengembalikan perlumbaan elit ke Malaysia, malah dijangka memberi limpahan ekonomi jangka panjang menerusi promosi negara kepada berbilion penonton di seluruh dunia.
- Penganjuran F1 dijangka memberi limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang melalui liputan media global yang memperkukuh imej Malaysia.
- Impak ekonomi melangkaui kenaikan pelancong; liputan antarabangsa membuka peluang pelaburan dan perniagaan baharu.
- Kemudahan bertaraf dunia SIC wajar dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak perlumbaan antarabangsa pada masa depan.
- Model perkongsian pintar seperti MotoGP perlu digunakan untuk kurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan melalui sokongan swasta dan penajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, impak penganjuran Formula 1 melangkaui peningkatan ketibaan pelancong kerana liputan global acara itu mampu memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi sukan permotoran bertaraf dunia.
“Kesan ekonomi bukan sahaja dapat dilihat daripada peningkatan ketibaan pelancong, malah menerusi liputan media serta penganjuran acara di seluruh dunia yang menarik berbilion penonton. Keadaan itu akan memberi kesan positif kepada negara dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pengurusan Bencana Udara Kebangsaan, hari ini.
Jelasnya lagi, kemudahan bertaraf dunia yang dimiliki SIC wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi menganjurkan lebih banyak perlumbaan bertaraf antarabangsa pada masa depan.
Katanya, Malaysia juga perlu mula merancang untuk membawa semula Formula 1 sebagai acara tetap menerusi sokongan kerajaan dan penajaan sektor swasta.
“Saya harap untuk tahun-tahun mendatang Malaysia harus memperuntukkan peruntukan tertentu dan dapat mendapat penajaan daripada syarikat-syarikat tertentu supaya Formula 1 akan dapat dilakukan di Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan keputusan kerajaan menjadi tuan rumah GP Bahrain Formula 1 di SIC, sambil menyifatkannya sebagai satu penghargaan besar kepada negara selepas kali terakhir Malaysia menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada 2017.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pendekatan perkongsian pintar (smart partnership) yang diguna pakai dalam penganjuran MotoGP boleh dijadikan model bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi penganjuran acara permotoran bertaraf dunia tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.