Malaysia kecam provokasi melampau rejim Zionis di Masjid Al-Aqsa

Puak pelampau Yahudi disifatkan sebagai provokasi melampau yang mencabul status quo tapak suci itu/Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 25 Julai – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya provokasi melampau rejim Zionis Israel susulan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh lebih 4,200 puak pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim itu, pada 23 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan puak pelampau memasuki Kompleks Masjid Al-Aqsa melanggar status quo dan undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB.
  • Malaysia kecam provokasi yang menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa dan mengancam keamanan serta sensitiviti keagamaan umat Islam.
  • Wisma Putra tegaskan solidariti padu dengan rakyat Palestin dan sokong penubuhan Negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967.

Kementerian Luar menegaskan tindakan puak pelampau Yahudi memasuki Kompleks Masjid Al-Aqsa, menghalang jemaah Palestin serta menjalankan upacara keagamaan di kawasan itu melanggar status quo yang telah lama dipersetujui bagi tapak suci berkenaan.

“Tindakan ini juga merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan mengenai status Baitulmaqdis Timur.

“Malaysia memandang provokasi melampau ini sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel yang bertujuan untuk menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang dan demografinya,” menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra turut menyifatkan tindakan puak pelampau Yahudi bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta sokongan teguh terhadap hak-hak mutlak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri,” tambah kenyataan itu.

Malaysia mengulangi sokongannya terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.