MSC x EWC: VAMOS cemerlang di Paris, tundukkan Spirit 2-0

(Kanan) Wakil Malaysia dari kumpulan Vamos, Muhammad Irfan Aujang atau Sepat/ RTM

PARIS, 25 Julai- Wakil Malaysia, VAMOS mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati Mid Season Cup x Esports World Cup (MSC x EWC) 2026 selepas menewaskan Spirit 2-0 dalam aksi Final Upper Bracket Kumpulan A di Paris, Perancis pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • VAMOS mengenal pasti corak permainan Team Spirit dari pertemuan terdahulu dan memanfaatkan kelemahan mereka untuk strategi.
  • Pasukan menumpukan pemilihan hero untuk mengawal mid lane bagi menyekat permainan agresif lawan dan mengawal tempo perlawanan.
  • Duel jungler muda Error404 dan Zaur Egoist menarik perhatian, manakala Selangor Red Giants akan bertemu Geekay Esports untuk slot kalah mati.

Kemenangan itu turut menyaksikan pertembungan antara dua pemain jungler muda, Error404 dari VAMOS dan Zaur “Egoist” dari Team Spirit, dalam usaha membantu pasukan masing-masing memburu slot ke peringkat seterusnya.

Pemain VAMOS, Muhammad Irfan Aujang atau lebih dikenali sebagai Sepat berkata pasukannya berjaya mengenal pasti corak permainan Spirit berdasarkan pertemuan terdahulu ketika kedua-dua pasukan beraksi di Malaysia.

“Kami pernah bertemu Spirit ketika kejohanan di Malaysia, jadi kami sudah memahami corak permainan setiap pemain mereka. Kami mengenal pasti beberapa kebiasaan yang sering mereka lakukan dan memanfaatkan kelemahan tersebut untuk diterapkan dalam strategi perlawanan,” katanya.

Menurut Sepat, VAMOS turut merangka strategi sejak fasa pemilihan hero dengan memberi tumpuan kepada pemilihan hero yang mampu mengawal permainan di bahagian pertengahan (mid lane) bagi menyekat corak permainan agresif Team Spirit.

Strategi berkenaan berjaya mengehadkan pergerakan lawan sekali gus membolehkan VAMOS mengawal tempo permainan sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 2-0.

Kejayaan itu mengesahkan kemaraan VAMOS ke peringkat kalah mati MSC x EWC 2026, sekali gus membuka peluang kepada wakil negara untuk melakar pencapaian lebih baik dalam kejohanan berkenaan.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia, Selangor Red Giants dijadualkan berdepan Geekay Esports hari ini bagi memburu satu lagi slot ke peringkat kalah mati MSC x EWC 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.