Industri keselamatan swasta diperkukuh menerusi teknologi, latihan – KDN

Facebook: Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, pemanfaatan teknologi dan penambahbaikan kawal selia bagi memperkukuh industri keselamatan swasta negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkasa modal insan melalui latihan berkualiti, peningkatan kemahiran, pensijilan kompetensi serta pembentukan tenaga kerja berintegriti dan beretika.
  • Galakkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan, analitik video pintar, biometrik, dron dan analisis data untuk tingkatkan kecekapan operasi.
  • Melaksanakan penambahbaikan kawal selia termasuk lanjutan sah laku lesen kepada dua tahun, pelesenan cawangan dan pengukuhan tadbir urus.
  • Matlamat menjadikan industri keselamatan swasta lebih profesional, berdaya saing dan diyakini bagi memenuhi keperluan keselamatan semasa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu penting bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang secara profesional, berdaya saing serta memenuhi keperluan keselamatan semasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian III, Bahagian Keselamatan KDN, Asrul Shah Razali pada Majlis Makan Malam Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) sempena Majlis Penghargaan Sekuriti Swasta di sini, malam tadi.

Menurut beliau, pembangunan industri keselamatan swasta perlu disokong menerusi latihan berkualiti, peningkatan kemahiran, pensijilan kompetensi serta pembentukan tenaga kerja yang berintegriti dan beretika.

“Hasrat saya adalah untuk melihat industri keselamatan swasta Malaysia terus berkembang sebagai sebuah industri yang profesional, berdaya saing dan diyakini.

“Ke arah itu, pembangunan modal insan perlu terus diperkasakan melalui latihan berkualiti, peningkatan kemahiran, pensijilan kompetensi serta pembentukan tenaga kerja yang berintegriti dan beretika tinggi,” katanya.

Beliau berkata pemain industri turut perlu memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik video pintar, biometrik, dron dan analisis data bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mutu penyampaian perkhidmatan.

Datuk Seri Saifuddin berkata industri keselamatan swasta kini mencatatkan jumlah modal berbayar sebanyak RM1.37 bilion dengan nilai kontrak keseluruhan mencecah RM12.76 bilion, sekali gus menunjukkan sumbangan sektor itu terhadap keselamatan negara dan pembangunan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata KDN telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan termasuk melanjutkan tempoh sah laku lesen agensi keselamatan persendirian daripada setahun kepada dua tahun, memperkenalkan pelesenan cawangan serta memperkukuh tadbir urus industri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.