11 ahli kumpulan ‘Geng Vinod’ didakwa

Kesemua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan kawalan ketat polis / BERNAMA

SEPANG, 24 Julai– Sebelas lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Vinod’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, hukuman penjara lima hingga 20 tahun jika sabit.
  • Kumpulan disyaki terlibat rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, rusuhan bersenjata dan kecederaan menggunakan senjata.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh ialah Muhammad Vinod Saktivel yang dipercayai ketua kumpulan, M. Puvaneswaran, Lawrence Alfred, G. Sanggeethan, M. Naviedran, S. Sri Tharan, M. Surenthar, N. A. N. Viknesvaran, J. M. Kishaan, R. Shervinkumar dan T. Saarvin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang antara April 2024 hingga 27 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan, kumpulan itu aktif dalam pelbagai jenayah kekerasan.

Mereka disyaki terlibat rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat.

Penahanan kesemua tertuduh yang berusia 21 hingga 34 tahun itu dibuat menerusi Op Rapido.

Operasi dilaksanakan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor pada 23 dan 24 Jun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.