
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Rakyat Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik sebarang tekanan politik dan diplomatik terhadap Malaysia, sambil menegaskan hak negara untuk menentukan dasar luar serta dasar kemasukan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
- MAPIM menyerahkan memorandum kepada wakil Bahagian Politik Kedutaan AS selepas perhimpunan aman di ibu negara.
- Wakil Kedutaan AS menerima memorandum dan akan menyampaikannya kepada Presiden AS, Speaker Kongres dan ahli kongres terlibat.
- MAPIM menolak keras permintaan ahli-ahli Kongres yang mahu kerajaan AS menekan Malaysia secara politik dan diplomatik.
- Memorandum disokong 58 NGO dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, ahli Parlimen serta parti politik untuk kesedaran.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pendirian itu dinyatakan menerusi memorandum yang diserahkan kepada wakil Bahagian Politik Kedutaan Amerika Syarikat selepas perhimpunan aman diadakan di ibu negara.
Sebarang tekanan politik atau diplomatik negara luar tidak seharusnya mempengaruhi dasar yang telah diputuskan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
“Kita menegaskan bahawa kita menolak dengan keras apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Kongres yang meminta supaya kerajaan Amerika menekan Malaysia secara politik dan diplomatik.
“Kita menegaskan tentang kedaulatan, hak serta kebebasan Malaysia untuk menentukan polisi negara dan kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut Mohd Azmi wakil Kedutaan AS telah menerima memorandum berkenaan dan memaklumkan ia akan disampaikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Speaker Kongres serta ahli-ahli kongres yang terlibat.
Dalam pada itu MAPIM juga akan terus mempertahankan kedaulatan negara serta menyokong pendirian kerajaan, termasuk ketegasan Perdana Menteri dalam mempertahankan dasar Malaysia terhadap isu Palestin dan Israel.
Memorandum tersebut mendapat sokongan 58 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan turut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, ahli-ahli Parlimen serta parti-parti politik bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mempertahankan kedaulatan dasar negara.
Perhimpunan aman itu menghimpunkan peserta-peserta pertubuhan bukan kerajaan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT).