
BORDEAUX, 24 Julai – Lebih 20,000 penduduk dan pelancong dipindahkan, termasuk ratusan yang terpaksa melarikan diri menggunakan bot, susulan kebakaran hutan yang terus merebak di barat daya Perancis.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 3,700 hektar hutan, bersamaan lebih satu setengah kali keluasan Pulau Manhattan.
- Operasi pemadaman melibatkan sekitar 800 anggota bomba, gendarmerie, tentera dan pesawat pengebom air.
- Punca dipercayai mesin pembersihan semak, siasatan lanjut dijalankan, cuaca panas dan angin kuat menyukarkan pemadaman.
Pihak berkuasa memaklumkan lebih 400 orang telah dipindahkan melalui bot dari Semenanjung Cap Ferret di pesisir Atlantik, selepas kawasan itu diarah dikosongkan berikutan kebakaran yang merebak dengan pantas.
Kebakaran yang bermula di Saumos pada tengah hari 22 Julai itu kemudiannya merebak ke Le Porge sebelum menghampiri Lège-Cap-Ferret, melalui kawasan hutan pain yang padat. Sehingga kini, api telah memusnahkan kira-kira 3,700 hektar kawasan, bersamaan lebih satu setengah kali keluasan Pulau Manhattan.
Kira-kira 800 anggota bomba, dibantu ratusan anggota gendarmerie, tentera dan pesawat pengebom air, terus bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang berlaku kira-kira 50 kilometer di barat Bordeaux.
Pihak berkuasa turut membuka 15 pusat pemindahan kecemasan selepas lebih 12,000 penduduk dan pelancong dipindahkan pada Rabu, diikuti 8,800 lagi pada Khamis dari tapak perkhemahan, rumah percutian dan kawasan kediaman berhampiran.
Setakat ini, tiga buah rumah dan sebuah karavan musnah dijilat api, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Presiden Emmanuel Macron berkata, Perancis telah mengaktifkan Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah (EU) bagi mendapatkan bantuan, dengan EU menghantar tiga pesawat pengebom air dari negara anggota lain bagi membantu operasi memadam kebakaran.
Datuk Bandar Lège-Cap-Ferret, Philippe de Gonneville, berkata keadaan cuaca menyukarkan usaha memadam api apabila suhu melebihi 30 darjah Celsius, selain tiupan angin timur dan timur laut yang kuat mempercepatkan kebakaran merebak.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran di bahagian utara Lège kini berjaya dibendung, namun operasi pemadaman masih diteruskan bagi mengelakkan api kembali merebak.
Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sebuah mesin pembersihan semak, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Perancis turut berdepan beberapa lagi kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu, termasuk insiden berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux yang mengorbankan dua anggota bomba.
Awal Julai, kebakaran turut memusnahkan kira-kira satu persepuluh kawasan Hutan Fontainebleau yang diiktiraf UNESCO.
Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), keluasan kawasan yang terbakar di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) tahun ini merupakan yang kedua terbesar pernah direkodkan.
Saintis pula memberi amaran perubahan iklim akibat penggunaan bahan api fosil menyebabkan cuaca panas melampau dan kemarau berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan di beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Sepanyol dan Itali. – AFP