PGA rampas 20,000 pokok seludup bernilai RM880,000

Foto PGA

KOTA BHARU, 24 Julai – Taktik licik menyeludup masuk anak pokok kopi dari Thailand terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 20,000 anak pokok dalam satu operasi di Rantau Panjang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA menyerbu hadapan Masjid Kampung Rahmat, memeriksa lori Hino dan menemui muatan anak pokok kopi; pemandu hanya mengemukakan satu invois.
  • Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
  • Rampasan dianggarkan bernilai RM880,000; termasuk RM700,000 nilai anak pokok dan RM180,000 bagi lori.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan di hadapan Masjid Kampung Rahmat, hasil pemerhatian terhadap sebuah lori Hino yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemukan muatan ribuan anak pokok kopi, namun pemandu hanya mengemukakan satu invois daripada sebuah syarikat nurseri.

“Susulan itu, lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM880,000, melibatkan RM700,000 nilai anak pokok kopi dan RM180,000 bagi lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati semua anak pokok tersebut dipercayai untuk dihantar ke Gua Musang.

Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori di syarikat nurseri milik keluarganya itu memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bergantung kepada jumlah penghantaran.

Kes kini dirujuk kepada Jabatan Pertanian Kelantan dan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.