
SHALAMCHEH, 23 Julai – Dua maut manakala 11 yang lain cedera dalam serangan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan lintasan sempadan antara Iran dan Iraq, awal pagi Khamis.
- Timbalan Gabenor Khuzestan sahkan lintasan penumpang sempadan Iran-Iraq menjadi sasaran serangan.
- Satu lagi serangan peluru berpandu AS menyasarkan kawasan berhampiran bandar Andimeshk; maklumat lanjut akan diumumkan.
- CENTCOM kata operasi AS diteruskan untuk melemahkan keupayaan Iran di perairan serantau.
Timbalan Gabenor bagi Keselamatan dan Penguatkuasaan Undang-Undang di wilayah Khuzestan, Valiollah Hayati mengesahkan lokasi sekitar terminal penumpang di lintasan sempadan berkenaan, menjadi sasaran serangan.
“Satu lagi serangan peluru berpandu AS turut menyasarkan kawasan berhampiran bandar Andimeshk di Khuzestan dan maklumat lanjut berkaitan serangan berkenaan akan dimaklumkan kemudian,”katanya.
Serangan berkenaan, susulan serangan baharu Washington di barat daya dan selatan Iran selepas Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menyatakan operasi diteruskan bagi terus melemahkan keupayaan Iran di perairan serantau.-REUTERS