
MASAI, 23 Julai – Kerajaan Johor akan memantau pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) setiap tiga hingga enam bulan bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaannya kekal selaras dengan aspirasi transformasi pendidikan negeri.
- Kerajaan negeri memantau pelaksanaan SRBJ untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan selaras aspirasi transformasi pendidikan.
- Fasa pertama menunjukkan perkembangan positif termasuk penyediaan infrastruktur dan penerimaan guru serta murid terhadap pendekatan pembelajaran baharu.
- Kerajaan akan memperkukuh ekosistem pembelajaran melalui kemudahan STEM seperti pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
- Pelaksanaan Program Dwibahasa akan diperluaskan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris serta memperkukuh pembelajaran Sains dan Matematik.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, pemantauan berkala itu penting kerana SRBJ merupakan inisiatif strategik yang menjadi harapan masa depan pendidikan serta pembentukan generasi Bangsa Johor.
Beliau berkata, pelaksanaan fasa pertama yang kini memasuki tempoh lebih setahun menunjukkan perkembangan positif, termasuk aspek penyediaan infrastruktur serta penerimaan guru dan murid terhadap pendekatan pembelajaran baharu.
“Saya betul-betul melihat Sekolah Rintis Bangsa Johor ini kerana ia bukanlah satu perkara yang kecil sebab ia membawa harapan bangsa, harapan pelajar. Sebab inilah mereka-mereka yang akan berhadapan dengan generasi akan datang ataupun dunia akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat SRBJ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem pembelajaran menerusi penyediaan kemudahan pendidikan berasaskan STEM seperti pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
Selain itu, pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) turut akan diperluaskan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris serta memperkukuh pembelajaran Sains dan Matematik.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Naqib berkata, guru-guru yang mengikuti latihan di Singapura turut memberikan maklum balas positif selepas berjaya mengaplikasikan kaedah pembelajaran yang dipelajari di SRBJ.
SRBJ adalah inisiatif transformasi pendidikan ilham Tunku Mahkota Ismail dan empat sekolah rintis yang terpilih sebelum ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 di Pasir Gudang dan SK Tasek Utara dan SMK Tasek Utara di Johor Bahru.