Kerjasama BN-PN: ‘Tiada perbincangan rasmi’ – Pengerusi BN

Facebook: Zahid Hamidi

BALIK PULAU, 23 Julai- Cadangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 belum pernah dibincangkan secara rasmi setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hamzah Abdullah mencadangkan pembentukan Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi kerjasama BN-PN untuk PRN Negeri Sembilan.
  • Ahmad Zahid menegaskan cadangan perlu diperhalusi dan diformalkan jika benar serius, bukannya sekadar disebut dalam ucapan kempen.
  • Timbalan Perdana Menteri yakin isu penutupan PDM DUN Klewang boleh diselesaikan sebelum hari pengundian melalui penyelarasan setempat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu setakat ini hanya dibangkitkan menerusi ucapan Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Abdullah ketika tempoh kempen tanpa sebarang perincian atau rundingan antara kedua-dua pihak.

“Perkara itu hanya disebut dalam ucapan (Datuk Seri Hamzah). Ucapan itu dalam kempen. Tidak ada sebarang perbincangan.

“Sebaiknya adakan perbincangan dan diformalkan sekiranya cadangan itu serius. Namun, jika sekadar dibangkitkan ketika kempen, saya fikir perkara itu perlu diperincikan terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Hamzah mencadangkan kerjasama antara BN dan PN bagi PRN Negeri Sembilan menerusi pembentukan gabungan dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menyatakan keyakinan bahawa isu penutupan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Jelebu akan diselesaikan sebelum hari pengundian pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan usaha penyelesaian sedang dilaksanakan.

Menurutnya, kawasan berkenaan turut berada dalam kawasan Parlimen yang diterajui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, sekali gus memudahkan proses penyelarasan.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (Datuk Seri Jalaluddin Alias) dan kebetulan kawasan itu berada dalam kawasan Parlimen beliau.

“Perkara itu sedang dalam proses penyelesaian. Kita ada tempoh kira-kira sembilan hari lagi dan saya fikir perkara itu boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Ke-61 Bilangan 1/2026 di Teluk Bahang, di sini, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.