
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Peranan guru sebagai pemangkin utama asas pembangunan negara terus diberi pengiktirafan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 kepada 746 warga pendidik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar dan Pudu, di sini hari ini.
- Pendidikan asas pembangunan negara; kejayaan bergantung kepada pembentukan insan berilmu, berakhlak, berdaya saing dan berkarakter unggul.
- Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 ditegaskan sebagai hala tuju strategik untuk membina ekosistem pendidikan inklusif dan berdaya tahan.
- Aspirasi RPM menuntut warga pendidik memimpin transformasi melalui peningkatan kompetensi, adaptasi teknologi dan pembudayaan inovasi.
- Majlis dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah JPWPKL Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pengiktirafan tersebut merupakan manifestasi terhadap komitmen dan profesionalisme luar biasa guru dalam menggalas amanah membangunkan modal insan.
“Pendidikan merupakan asas utama dalam pembangunan sesebuah negara. Kekuatan bangsa kita bukan hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi, teknologi, dan pembangunan fizikal, tetapi bergantung kepada keupayaan membentuk insan berilmu, berakhlak, berdaya saing, serta mempunyai karakter yang unggul,” katanya demikian ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebagai hala tuju strategik membina ekosistem pendidikan inklusif dan berdaya tahan.
Jelasnya, aspirasi tersebut menuntut warga pendidik untuk terus memimpin transformasi menerusi peningkatan kompetensi, pengadaptasian teknologi, serta pembudayaan inovasi dalam sistem penyampaian pendidikan.
Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail.