‘Bapa muda’ maut kemalangan motosikal

Foto hiasan

KEMAMAN, 23 Julai – Seorang bapa maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan di Felda Neram Satu, di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Motosikal dipercayai hilang kawalan ketika menuruni kawasan berbukit berhampiran sekolah.
  • Mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala; dipercayai tidak memakai topi keledar.
  • Mayat dibawa ke Unit Forensik untuk bedah siasat; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata mangsa, Muhammad Nurekhsan Sabri, 38 tahun jurulatih keselamatan di Balok, Kuantan dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghantar anak ke sebuah sekolah tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis yang ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas selepas menuruni satu kawasan berbukit berhampiran sekolah berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati motosikal mangsa dipercayai terbalik menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di atas jalan serta mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi berhubung kejadian itu.

Mangsa yang mengalami banyak pendarahan pada bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas kemalangan.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar dan keadaan jalan di lokasi kejadian juga lurus, berturap tar dan kering.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk proses bedah siasat dan urusan selanjutnya. Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.