
NEW DELHI, 23 Julai – Perdana Menteri India, Narendra Modi hari ini berikrar mengenakan hukuman paling berat terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan peperiksaan.
- Demonstrasi besar-besaran oleh pelajar, dipimpin gerakan media sosial Cockroach Janta Party, mencabar pemerintahan Modi atas kebocoran kertas peperiksaan.
- Modi menjanjikan penubuhan mahkamah khas untuk membicarakan kes kebocoran kertas soalan peperiksaan.
- Bentrok dengan polis: gas pemedih mata dan cota digunakan, puluhan ribu berhimpun, tuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan.
Pengumuman itu dibuat susulan kemarahan golongan pelajar yang membawa kepada siri demonstrasi besar-besaran bagi mencabar pemerintahan Modi.
Kenyataan sulung beliau berhubung isu terbabit dikeluarkan selepas ribuan penunjuk perasaan yang diketuai oleh gerakan berasaskan media sosial, Cockroach Janta Party (CJP) berhimpun di sini pada Rabu sehingga mencetuskan pertempuran baharu dengan pihak polis.
“Tiada apa yang lebih penting daripada kebajikan dan masa depan anak muda kita. Pihak yang cuba merosakkan masa depan anak muda kita tidak akan terlepas,” tegas Modi menerusi satu hantaran di media sosial.
Modi turut berjanji akan menubuhkan mahkamah khas bagi membicarakan kes kebocoran kertas soalan peperiksaan.
Golongan penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar muda menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan susulan siri kebocoran kertas soalan sejak bulan lalu.
Keadaan bertambah tegang pada Isnin apabila pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan cota terhadap puluhan ribu penunjuk perasaan yang cuba berarak ke bangunan parlimen yang menyaksikan ia perhimpunan terbesar di ibu negara dalam tempoh kira-kira lima tahun.
Menurut kenyataan polis, sekurang-kurangnya 178 orang termasuk anggota keselamatan dilaporkan cedera dalam insiden keganasan berkenaan.- AFP