
SHAH ALAM, 22 Julai– Empat sindiket penipuan dalam talian yang menjalankan kegiatan call centre di Kajang dan Serdang ditumpaskan menerusi siri serbuan polis antara 15 hingga 20 Julai lalu.
- 40 warga asing ditahan, 36 lelaki dan empat wanita, disyaki bertindak sebagai operator sindiket.
- Sindiket jalankan penipuan jual beli, pelaburan palsu dan Love Scam, menyasarkan mangsa di China, Amerika Syarikat dan Kanada.
- Polis merampas barangan termasuk 12 telefon, 12 komputer riba dan sebuah modem, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM46,000.
- Semua suspek berumur 22 hingga 55 tahun direman mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 40 warga asing ditahan, membabitkan 36 lelaki dan empat wanita yang disyaki bertindak sebagai operator sindiket.
Sindiket berkenaan menjalankan penipuan jual beli barangan, pelaburan tidak wujud serta Love Scam dengan menyasarkan mangsa di China, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Pada 15 Julai lalu, polis menyerbu sebuah premis di Bandar Sungai Long, Kajang dan menahan 15 lelaki serta seorang wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan jual beli barangan secara dalam talian.
Siasatan awal mendapati kumpulan itu mula beroperasi sejak Mei lalu dan menyasarkan mangsa dari China,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media, di sini.
Tambah beliau, polis turut merampas 12 telefon bimbit, 12 komputer riba serta sebuah modem dengan nilai rampasan kira-kira RM20,000.
“Dalam serbuan kedua di Country Heights, Kajang pada hari sama, polis menahan 13 lelaki dan dua wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.
Manakala serbuan ketiga pada 18 Julai di Saujana Impian, berjaya menumpaskan sindiket Love Scam yang menyasarkan mangsa di Amerika Syarikat dan Kanada,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan, serbuan terakhir pada 20 Julai di Bandar Putra Permai pula membongkar satu lagi sindiket Love Scam yang menyasarkan warga China.
Keseluruhan operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan IPD Serdang.
Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan RM46,000.
Semua suspek berusia antara 22 hingga 55 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.