
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan turun berkempen di Negeri Sembilan hari ini dalam usaha memperhebat momentum Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.
- Kehadiran pertama Pengerusi PH untuk menyertai kempen dijangka menjadi tumpuan utama gabungan.
- Beliau menghadiri empat program di Ampangan, Paroi, Sikamat dan Senawang, melibatkan sesi masyarakat, belia dan ceramah perdana.
- PH bertanding di semua 36 kerusi DUN; 16 calon PKR, 11 DAP dan 9 Amanah; undi awal 28 Julai, pengundian 1 Ogos.
Memasuki hari kelima tempoh kempen hari ini, kehadiran kali pertama Pengerusi PH itu bagi menyertai kempen dijangka menjadi antara tumpuan utama gabungan berkenaan.
Datuk Seri Anwar, yang juga Presiden PKR dijadualkan menghadiri empat program melibatkan kawasan Ampangan, Paroi, Sikamat dan Senawang, merangkumi sesi bersama masyarakat, belia serta ceramah perdana gabungan berkenaan.
Beliau akan memulakan siri program pada 4.00 petang menerusi Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan, sebelum menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (KOMBES), Paroi, pada 5.00 petang.
Pada sebelah malam pula, beliau dijadualkan menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sebelum menyertai ceramah perdana Pakatan Harapan DUN Paroi di Pusat Bandar Senawang.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN yang dipetandingkan menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Amanah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.