
PARUN, 21 Julai – Pasukan penyelamat Afghanistan bertungkus-lumus untuk sampai ke lokasi penduduk yang terperangkap di bawah timbunan lumpur dan bongkah batu di timur negara itu, selepas banjir besar melanda sebuah wilayah sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 23 nyawa.
- Kira-kira 100 penduduk masih hilang menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan dan Pejabat Gabenor Wilayah.
- Penduduk tempatan menggunakan kayu dan tangan mencari mangsa dengan bantuan jentolak yang terhad.
- Hotel, pasar dan kedai musnah sepenuhnya; Datuk Bandar serta beberapa pegawai kerajaan dilaporkan hilang.
Kira-kira 100 lagi penduduk masih hilang menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan dan Pejabat Gabenor Wilayah yang turut mengemas kini angka korban susulan bencana banjir yang berlaku pada Isnin.
Wartawan AFP menyaksikan puluhan penduduk berkumpul di Parun, ibu negeri Wilayah Nuristan yang terpencil menggunakan kayu serta tangan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Ahli farmasi, Farid Gul Zaheer, 34 berkata beliau tidak pernah menyaksikan banjir seteruk itu.
“Keadaannya seolah-olah berlaku gempa bumi, dan saya mendengar jeritan kanak-kanak serta orang ramai,” katanya yang turut cedera ketika cuba menyelamatkan diri ke kawasan pergunungan.
Pada Selasa, sebuah jentolak hanya mampu membantu secara terhad dalam usaha mengalihkan timbunan runtuhan di Parun apabila banjir menimbus beberapa premis perniagaan selain menghanyutkan bongkah batu besar yang merempuh bangunan.
Datuk Bandar Parun bersama beberapa kakitangan kerajaan dilaporkan antara mereka yang masih hilang, menurut Pejabat Gabenor pada Isnin.
Pengurus Hotel Spogmai, Zakirullah Zaki berkata tragedi itu meranapkan segala-galanya di kawasan terbabit.
“Semua hotel, pasar dan kedai lain musnah sepenuhnya,” kata lelaki berusia 29 tahun itu.
Hotel Spogmai bagaimanapun masih berdiri di tengah-tengah kemusnahan manakala adik lelaki pengurus hotel yang sebelum ini dilaporkan hilang akhirnya berjaya ditemukan. – AFP