Enam sekeluarga maut akibat serangan terbaharu rejim Zionis

Penduduk Palestin mengebumikan enam sekeluarga yang maut akibat serangan terbaharu rejim Zionis/Foto REUTERS 

GAZA, 21 Julai – Serangan udara rejim Zionis pada Selasa mengorbankan enam sekeluarga di sini serta menyebabkan kediaman mereka terbakar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Walaupun gencatan senjata disokong AS dipersetujui sembilan bulan lalu, serangan udara hampir setiap hari terus membunuh; lebih 1,150 terbunuh sejak itu.
  • Penduduk Gaza hidup terpaksa, hampir seluruh dua juta tinggal di pantai sempit, kebanyakannya di khemah atau bangunan rosak.
  • Bapa mangsa meratapi kehilangan keluarga, berkata tidak ada tempat selamat dan mangsa, termasuk kanak-kanak dan wanita, terbunuh tanpa amaran.

Insiden itu merupakan serangan maut terbaharu sejak gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dipersetujui lebih sembilan bulan lalu.

Menurut petugas perubatan, serangan ke atas rumah keluarga itu di kawasan kejiranan Sabra mengorbankan Firas Al-Masri, isterinya Salsabeel, serta tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki mereka.

Rakaman video yang diperoleh Reuters menunjukkan anggota penyelamat bergelut memadamkan kebakaran di rumah berkenaan sebelum mengeluarkan mayat yang dibalut dengan kain.

Bapa kepada Firas, Abu Yusuf Al-Masri berkata letupan berlaku ketika mereka sedang tidur sambil meratapi kehilangan anak, menantu dan empat orang cucu.

“Kami tidak mampu menyelamatkan cucu-cucu dan anak-anak kami daripada api serta kemusnahan. Enam orang terkorban dan mereka adalah kanak-kanak dan wanita tanpa belas kasihan serta tanpa sebarang amaran awal,” katanya ketika ditemui di luar rumah keluarga malang itu.

“Tiada lagi keadaan yang benar-benar tenang dan tiada langsung tempat yang selamat,” tambahnya dalam keadaan sebak.

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Zionis sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober lalu melebihi 1,150 orang dan kebanyakannya orang awam, menurut pegawai kesihatan Gaza.

Walaupun gencatan senjata menghentikan pertempuran berskala besar, serangan udara rejim Zionis hampir setiap hari masih berterusan.

Lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban akibat serangan tentera Israel sejak Oktober 2023.

Manakala hampir keseluruhan daripada dua juta penduduk Gaza kini tinggal di kawasan pantai yang sempit, kebanyakannya di khemah sementara atau bangunan yang rosak dalam keadaan serba kekurangan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.