
SEREMBAN, 21 Julai – Stesen Sentral Seremban yang baharu dijangka siap menjelang Mac 2027 dengan kos pembangunan hampir RM100 juta.
- Dibangunkan dengan integrasi bangunan Stesen Kereta Api Seremban warisan lebih 100 tahun.
- Projek pemuliharaan RM8.7 juta selesai, termasuk kerja konservasi, pendawaian dan pemulihan menara jam.
- Reka bentuk moden bercirikan seni bina Minangkabau, ruang komersial dan dua kawasan turun naik penumpang.
- Mulai tiga platform, boleh diperluas ke enam; kapasiti 30,000 hingga 120,000 penumpang sehari. Sistem saliran ditambah selepas banjir kilat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangunan stesen moden itu akan diintegrasikan dengan bangunan Stesen Kereta Api Seremban sedia ada yang berusia lebih 100 tahun dan mempunyai nilai warisan penting kepada bandar raya itu.
Menurut beliau, projek pemuliharaan bangunan lama melibatkan peruntukan sebanyak RM8.7 juta, merangkumi kerja konservasi bangunan, naik taraf sistem elektrik dan mekanikal serta pemulihan menara jam ikonik stesen berkenaan.
Katanya, kerja fizikal pemuliharaan itu telah siap sepenuhnya.
“Keseluruhan stesen lama ini telah dibaik pulih dengan pendawaian dan sistem elektrik yang baharu.
“Menara jam atau clock tower juga telah dipulihkan dan kini kembali berfungsi. Ia merupakan satu mercu tanda penting kerana menjadi sebahagian daripada sejarah bandar raya Seremban,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau projek pemuliharaan bangunan Stesen Kereta Api Seremban serta perkembangan pembinaan Stesen Sentral Seremban hari ini.
Stesen Sentral Seremban direka sebagai sebuah stesen moden yang menampilkan elemen seni bina bercirikan Minangkabau serta dilengkapi ruang komersial dan dua kawasan turun naik penumpang bagi memudahkan akses ke platform.
Pada peringkat awal, stesen itu akan mempunyai tiga platform sebelum diperluaskan kepada enam platform pada masa hadapan.
Stesen berkenaan dijangka mampu menampung kira-kira 30,000 penumpang sehari dengan kapasiti yang boleh ditingkatkan sehingga 120,000 penumpang sehari pada masa depan.
Susulan kejadian banjir kilat yang berlaku baru-baru ini, skop projek turut ditambah dengan pelaksanaan sistem pembentungan bagi meningkatkan keupayaan saliran di kawasan stesen.