
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan memberi sedikit masa kepada platform media sosial untuk melaksanakan Kod Mitigasi Risiko (RMC) dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian ONSA.
- Platform diberi masa untuk memahami dan menyesuaikan mekanisme sedia ada bagi mematuhi Kod Mitigasi Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak.
- Tanda-tanda kerjasama baik; ada perbincangan dengan kerajaan bagi mengelakkan salah faham tentang maksud kod.
- Walaupun berkuat kuasa sejak 1 Jun, pelaksanaan kod memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.
- Kegagalan mematuhi kod boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, prosiding mahkamah atau denda sehingga RM10 juta dan penalti kewangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tempoh itu diberikan bagi membolehkan penyedia platform memahami sepenuhnya keperluan kod berkenaan dan menyesuaikan mekanisme sedia ada bagi mematuhinya.
“Kita lihat tanda-tanda yang baik di kalangan platform-platform. Saya difahamkan ada sedikit perbincangan dengan pihak kerajaan kerana mereka ingin memastikan tidak berlaku salah faham mengenai apa yang dimaksudkan dalam kod tersebut. Jadi kita telah berikan sedikit masa dan saya lihat kerjasama pada waktu ini adalah baik,” katanya.
Jelas Datuk Seri Fahmi lagi, meskipun kod berkenaan telah berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, proses pelaksanaannya sememangnya memerlukan sedikit masa.
Beliau bagaimanapun menegaskan kegagalan mematuhi kod yang telah diwartakan itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding mahkamah, denda sehingga RM10 juta atau penalti kewangan mengikut peruntukan Akta Keselamatan Dalam Talian.