
PUTRAJAYA, 21 Julai – Rundingan antara Malaysia dengan Thailand berhubung akses pasaran udang kini berada di peringkat akhir sebelum dimuktamadkan.
- Rundingan dilaksanakan secara bersama untuk memastikan penyelesaian memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
- Pegawai Kementerian Pertanian Thailand mengunjungi Malaysia; pihak Malaysia akan melaksanakan pemeriksaan susulan.
- Kerajaan berusaha atasi sekatan eksport udang sejak 2017 dan tuntutan akses pasaran ternakan tertangguh sejak 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, proses rundingan itu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan penyelesaiannya memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Perbincangan kini berada di peringkat akhir. Pegawai-pegawai daripada Kementerian Pertanian Thailand telah mengadakan lawatan ke Malaysia, manakala pihak kita juga akan melaksanakan pemeriksaan.
“Rundingan kini hampir selesai dan diharap dapat dimuktamadkan dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Global Animal Production & Veterinary Industry Summit (GAVIS) 2026 di Putrajaya.
Sebelum ini, Datuk Seri Mohamad memaklumkan kerajaan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017, selain permohonan akses pasaran bagi produk ternakan negara ke Thailand yang masih tertangguh sejak 2024.
Beliau berharap rundingan yang sedang berlangsung dapat membuka semula akses pasaran sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan pertanian antara Malaysia dengan Thailand.