
MADRID, 21 Julai – Juara baharu Piala Dunia, Sepanyol, diraikan dalam sambutan penuh meriah menerusi perarakan menaiki bas terbuka di jalan-jalan utama Madrid pada Isnin, disaksikan kira-kira dua juta penyokong yang membanjiri ibu negara itu.
- Pemain meraikan kejayaan di Dataran Cibeles, naik pentas, sambutan berterusan hingga malam.
- Setiap pemain dan jurulatih Luis de la Fuente diperkenalkan, memakai baju "We Are Champions", disertai nyanyian penyokong.
- Pasukan menghadap Raja Felipe VI dan Perdana Menteri Pedro Sanchez sebelum perarakan; Raja memuji ketabahan dan seruan bersatu.
- Sepanyol kini memegang kedua-dua gelaran Piala Dunia lelaki dan wanita, berazam mempertahankan kejuaraan pada 2030 sebagai tuan rumah.
Para pemain menikmati minuman sepanjang perarakan di bawah cuaca panas terik, melalui laluan utama di pusat bandar yang dipenuhi lautan penyokong berbaju merah dan kuning sebelum tiba di Dataran Cibeles.
Di situ, mereka naik ke pentas dan terus meraikan kejayaan hingga ke malam.
Setiap pemain serta jurulatih, Luis de la Fuente, diperkenalkan seorang demi seorang kepada penyokong.
Mereka mengenakan baju bertulis “We Are Champions”, sambil diiringi lagu pilihan masing-masing yang turut dinyanyikan bersama para penyokong.
De la Fuente turut menyampaikan mesej yang sama dengan menyifatkan anak buahnya sebagai “pasukan terbaik di dunia” serta mengingatkan penyokong bahawa “bersatu kita lebih kuat.”
Para pemain dan pegawai pasukan bergambar beramai-ramai sebelum Rodri sekali lagi menjulang trofi Piala Dunia, sama seperti yang dilakukannya pada Ahad selepas Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dalam masa tambahan di New Jersey untuk muncul juara.
Selepas pulang dari Amerika Syarikat ke Madrid, pasukan itu terlebih dahulu menghadap Raja Felipe VI bersama keluarga diraja pada Isnin, sebelum bersama-sama Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, dan memulakan perarakan kemenangan.
“Anda telah menunjukkan ketabahan, daya tahan dan keberanian, dengan menggabungkan kebijaksanaan serta semangat,” titah Raja Felipe VI kepada pemain La Roja, yang pada mulanya berpakaian sut sebelum bertukar kepada pakaian kasual untuk menyertai perarakan pada hari musim panas yang panas.
Perarakan kemenangan Sepanyol bermula dari kediaman rasmi Perdana Menteri di Moncloa sebelum menuju ke Dataran Cibeles, lokasi tradisi sambutan kejayaan pasukan kebangsaan.
Ribuan penyokong sudah memenuhi kawasan itu sejak beberapa jam lebih awal bagi mendapatkan tempat terbaik.
Menjelang penghujung malam yang penuh kegembiraan itu, para pemain mengangkat jurulatih De la Fuente ke udara sebagai tanda penghargaan.
Pasukan wanita Sepanyol turut muncul juara Piala Dunia pada 2023, sekali gus menjadikan Sepanyol negara pertama yang memegang kedua-dua gelaran Piala Dunia lelaki dan wanita pada masa yang sama.
“Daripada dua akhir, dua kejuaraan, mengapa tidak kita impikan kejuaraan ketiga pada 2030, lebih-lebih lagi apabila Sepanyol menjadi tuan rumah,” kata Perdana Menteri Sanchez mengenai rekod sempurna Sepanyol dalam Piala Dunia.
Pada 2030, skuad lelaki Sepanyol akan mempertahankan kejuaraan di laman sendiri apabila negara itu menjadi tuan rumah bersama Portugal dan Maghribi.-AFP