Rakan niaga SARA cecah lebih 13,000 premis seluruh negara

Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Bilangan rakan niaga bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini mencatatkan lebih 13,000 premis seluruh negara; setakat 15 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan memperluaskan penyertaan kedai runcit, koperasi dan pasar mini dalam program SARA untuk merangsang perniagaan.
  • Pelaksanaan SARA digabungkan dengan program Jualan Rahmah; penerima boleh menggunakan MyKad di premis rakan niaga, kebanyakannya operator kedai persendirian.
  • Penetapan rakan niaga bergantung kepada bilangan penerima dan jarak minima tujuh kilometer, memberi peluang kepada lebih banyak kedai runcit menyertai.
  • Melalui SARA, lebih 140,000 produk keperluan asas dalam 15 kategori ditawarkan kepada penerima, termasuk makanan dan barangan kebersihan diri.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata angka tersebut meningkat, berbanding hanya 700 buah premis terlibat pada 2024.

Beliau berkata kerajaan akan terus memperluaskan penyertaan kedai runcit, koperasi dan pasar mini dalam program berkenaan bagi merangsang perniagaan golongan tersebut.

Sekali gus, memberi kemudahan kepada penerima SARA khususnya di luar bandar untuk mendapat akses barangan keperluan asas.

“Bagi memudahkan dan meluaskan capaian serta memastikan kedai runcit dan pasar raya di kawasan luar bandar serta pedalaman turut mendapat faedah daripada pelaksanaan program SARA, pelaksanaan program SARA di lapangan dilaksanakan bersama program Jualan Rahmah.

“Melalui pendekatan ini, penerima bukan sahaja dapat menikmati harga barangan yang lebih murah, tetapi boleh menggunakan MyKad di premis rakan niaga SARA yang kebanyakannya terdiri daripada operator kedai runcit persendirian.

“Selain itu, penetapan rakan niaga SARA turut bergantung kepada bilangan penerima di sesuatu kawasan, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan mengambil kira jarak sekurang-kurangnya tujuh kilometer.

“Langkah ini membuka peluang kepada lebih banyak kedai runcit untuk menyertai program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Che Alias Hamid pada persidangan Dewan Negara di Parlimen.

Chin Tong berkata, kerajaan komited memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Jelasnya, menerusi program SARA, lebih 140,000 produk keperluan asas kini boleh diperoleh penerima melibatkan 15 kategori barangan, termasuk makanan, barangan kebersihan diri dan keperluan harian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.