
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan-rakan media menerusi penganjuran Kejohanan Bola Sepak TNB-Media di Padang Kilat, Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, Sabtu lalu.
- Kejohanan dijadikan platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara TNB dan pengamal media.
- TNB menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada rakyat.
- Kejohanan memenuhi objektif libat urus positif serta mencerminkan komitmen TNB membina jaringan kerjasama lebih erat.
- Keputusan akhir: TV3 juara, NSTP naib juara; anugerah individu termasuk Penjaring Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik.
Kejohanan bersempena Piala Dunia FIFA 2026 itu menghimpunkan 12 pasukan mewakili organisasi media utama negara iaitu RTM, TV3, NSTP, Sinar Harian, Bernama, Bernama TV, Astro Awani, Astro Arena, Malaysia Gazette, Utusan Malaysia, Kosmo serta pasukan TNB selaku tuan rumah.
Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Ariffin A. Rahman, yang menjalankan tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, bersama Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin serta barisan pengurusan tertinggi syarikat.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Kamal Ariffin berkata, penganjuran kejohanan tersebut bukan sekadar platform pertandingan sukan tetapi sebagai medium berkesan untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuhkan kerjasama strategik serta menghargai sokongan berterusan pengamal media terhadap TNB.
“Media merupakan rakan strategik TNB dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja bersaing secara sihat di atas padang, malah membina hubungan yang lebih erat dan saling memahami di luar suasana kerja. Semoga jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran semula kejohanan ini mencerminkan komitmen TNB untuk terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan-rakan media melalui platform yang lebih santai, sihat dan interaktif.

Kali terakhir TNB menganjurkan program seumpama ini adalah pada tahun 2019 menerusi kejohanan futsal bersama media bersempena Hari Belia Negara.
Pada kejohanan kali ini, TV3 muncul juara, diikuti NSTP sebagai naib juara, manakala Astro Awani dan TNB masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Pasukan Malaysia Gazette, Bernama TV, Astro Arena, RTM, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Bernama dan Kosmo pula menerima hadiah saguhati.
Bagi anugerah individu, Muhammad Faiz S. Yahya daripada NSTP dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak, manakala Mohd Rashdan Adnan daripada Astro Awani menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Penganjuran kejohanan ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform libat urus yang memperkukuhkan hubungan strategik antara TNB dengan pengamal media dalam suasana yang positif.
Dalam masa sama, mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam membina jaringan kerjasama yang lebih erat dengan rakan-rakan media sebagai rakan strategik bagi menyampaikan agenda pembangunan negara serta inisiatif syarikat