
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Negara-negara ASEAN+3 perlu memperkukuh sistem tenaga dan mempercepat pelaburan dalam infrastruktur elektrik bagi meningkatkan daya tahan menghadapi ketidaktentuan geopolitik serta turun naik pasaran tenaga global.
- Analisis AMRO: konflik di Asia Barat pendedahkan kebergantungan tinggi Asia terhadap bekalan tenaga melalui Selat Hormuz.
- Ketahanan tenaga bukan hanya menangani kenaikan harga minyak, tetapi juga keupayaan institusi mengurus ketidaktentuan pasaran berpanjangan.
- Disaran tingkat kecekapan tenaga, mempelbagaikan sumber, kukuh rizab, percepat peralihan kepada boleh diperbaharui dan tingkat pelaburan rangkaian serta penjanaan.
Menurut analisis Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) konflik di Asia Barat yang menjejaskan laluan perkapalan di Selat Hormuz mendedahkan tahap kebergantungan tinggi negara-negara Asia terhadap bekalan tenaga global.
”Kira-kira 84 peratus penghantaran minyak mentah melalui Selat Hormuz menuju ke pasaran Asia, menyebabkan rantau ini paling terdedah kepada gangguan bekalan dan turun naik harga minyak dunia apabila laluan strategik itu terjejas”, katanya menerusi kenyataan.
Analisis itu menegaskan, ketahanan tenaga bukan sekadar keupayaan menghadapi kenaikan harga minyak, malah kemampuan institusi mengurus ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.
Sehubungan itu, negara-negara ASEAN+3 disaran meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada minyak, mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh rizab tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
Pada masa sama, peningkatan penggunaan penyaman udara dijangka melonjakkan permintaan elektrik di Asia Tenggara, mengatasi tekanan daripada pembangunan pusat data dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Jumlah penyaman udara di rantau ini diunjur meningkat daripada hampir 50 juta unit pada 2020 kepada kira-kira 300 juta unit menjelang 2040.
Sehubungan itu, pelaburan dalam kapasiti penjanaan, rangkaian penghantaran dan Grid Tenaga ASEAN perlu dipertingkatkan bagi membolehkan negara perkongsian bekalan elektrik rentas sempadan serta mengurangkan impak kejutan bekalan tenaga.