
LONDON, 17 Julai – Andy Burnham mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang akan berundur, Keir Starmer, sambil menegaskan beliau “bersedia untuk memimpin”, lapor PA Media/dpa.
- Terpilih sebagai pemimpin Parti Buruh, meletakkan beliau di landasan menjadi Perdana Menteri Britain dalam beberapa hari.
- Menggambarkan detik itu sebagai membanggakan dan penuh emosi bagi beliau dan keluarga.
- Bekas Datuk Bandar Greater Manchester, membawa pengalaman pentadbiran tempatan ke peranan nasional.
- Memuji dasar Starmer: peluasan hak pekerja dan penyewa, pengurangan masa menunggu NHS, pengambilalihan kereta api, dan Undang-undang Hillsborough.
Burnham berkata demikian sejurus selepas dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Buruh, sekali gus meletakkan beliau di landasan untuk menjadi perdana menteri Britain yang seterusnya dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Ini merupakan detik yang membanggakan buat saya dan keluarga saya hari ini, malah satu detik yang penuh emosi.
“Namun, saya sudah bersedia. Saya bersedia untuk memimpin dan meneruskan asas yang telah dibina oleh seseorang yang paling banyak berjasa.
“Di bawah kepimpinan Keir Starmer, kita bangkit daripada kekalahan paling buruk kepada antara kemenangan terbaik dalam sejarah kita.
“Keir mengembalikan Parti Buruh ke kedudukan yang membolehkan kita mengubah kehidupan rakyat, dan itulah yang kita lakukan sepanjang dua tahun lalu.”
Burnham, bekas Datuk Bandar Greater Manchester, turut memuji pelbagai dasar yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Starmer, termasuk peluasan hak pekerja dan penyewa, pengurangan senarai menunggu Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), pengambilalihan semula perkhidmatan kereta api oleh kerajaan serta kelulusan Undang-undang Hillsborough, yang disifatkannya sebagai ‘langkah paling besar untuk mengembalikan keseimbangan dalam sistem keadilan negara ini.”
Beliau berkata: “Hari ini, kita mengucapkan terima kasih kepada Keir atas khidmat beliau kepada parti dan negara.” – BERNAMA